BOON Siew Honda Umum Senarai Pelumba ARRC 2024, Nama Damok Disenarai!

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/13/20241 min read

PASUKAN Idemitsu Boon Siew Honda (BSH) Racing mengumumkan senarai pelumbanya bagi kempen Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2024 yang menyaksikan penampilan bekas pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman atau Damok.

Sebagai info, kempen ARRC 2024 dijadual membuka tirainya pada 15 hingga 17 Mac ini di Litar Antarabangsa Buriram, Thailand.

Dalam kelas SuperSport 600 (SS600), pasukan itu akan dikemudian dua 'otai' yang cukup berpengalaman iaitu Md Helmi Azman dan Azroy Hakeem Anuar.

Kedua-duanya yang memiliki reputasi cukup tinggi dalam kelas berkenaan akan sekali lagi menggalas tanggungjawab dengan menunggang jentera Honda CBR600RR.

Dalam kelas Asia Production 250 (AP250), pasukan itu menyenaraikan bekas pelumba Moto3, Damok yang akan bergandingan dengan pelumba muda, Md Irfan Haykal.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BSH, Mitsuharu Funase berkata pihaknya meletakkan sasaran yang tinggi bugi musim 2024 iaitu gelaran keseluruhan berpasukan terutama bagi kelas SS600.

"Pelumba-pelumba kami memiliki pengalaman yang cukup banyak dan mereka mempunyai semangat juang yang cukup tinggi," kata Funase.

Sementara itu, Pengurus Pasukan Idemitsu Boon Siew Honda Racing, Zulhelmi Ahmad menjelaskan kehadiran pasukan itu di ARRC bukan saja sebagai medan untuk melatih dan mencari bakat, tetapi sebagai penyelidikan dan

pembangunan serta memajukan reka bentuk produk Boon Siew Honda.

"Matlamat kami di bahagian sukan permotoran adalah untuk mengoptimumkan prestasi kami dalam masa sama meningkatkan kehadiran jenama (Honda)," katanya.

Dalam masa sama, BSH turut mengesahkan seorang lagi pelumba berbakatnya, Md Zaqhwan Zaidi yang juga bekas juara Asia akan berlumba dalam kelas elit ASB1000 dan menunggang jentera spesifikasi 2024 Honda CBR1000RR-R bersama pasukan Honda Dream Racing with Astemo.

Sebagai info, pasukan Idemitsu Boon Siew Honda Racing sudah beraksi di ARRC selama 12 tahun dan antara kejayaan membanggakan yang dicapai adalah menjuarai gelaran SS600 secara lima tahun berturut-turut pada tahun 2012 hingga 2016.