BOS Aprilia Puji P7 Jorge Martin Di Brno

Jorge Martin pada perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Republik Czech 2025 di Litar Brno, minggu lalu berjaya mengutip sembilan mata selepas mendapat tempat ketujuh

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/22/20251 min read

Jorge Martin
Jorge Martin

PENAMAT tempat ke-7 yang diperoleh Jorge Martin pada perlumbaan MotoGP Grand Prix (GP) Republik Czech 2025 di Brno, minggu lalu mendapat pujian bos Aprilia Racing, Massimo Rivola.

Selepas berbulan-bulan tersisih susulan beberapa siri kecederaan, penyandang juara dunia MotoGP, Martin membuat kepulangan semula ke kancah perlumbaan.

Martin menamatkan Perlumbaan Sprint di tempat ke-11 namun pada perlumbaan utama, pelumba kelahiran Sepanyol itu bangkit mengutip mata dengan melepasi garisan penamat di tempat ke-7.

Keputusan itu boleh disifatkan baik buat Aprilia di Brno selepas seorang lagi pelumba pasukan itu, Marco Bezzecchi menamatkan perlumbaan sebagai naib juara dan pelumba pasukan satelitnya, Raul Fernandez ke-5.

Mengulas prestasi Aprilia, Rivola mengakui ia bukan bukan sempurna tetapi gembira dengan apa yang diperoleh pelumbanya.

"Saya amat gembira untuk Jorge kerana kami sebenarnya tidak tahu apa-apa mengenai keadaannya," kata Rivola. "Dan Marco cukup hebat, menakjubkan, permulaan yang sempurna. Ia adalah kepulangan semula yang istimewa. Saya amat gembira.

"Juga kita dapat melihat yang jentera kami laju, jadi saya fikir dia memerlukan motivasi yang besar."

Sebelum kepulangan semula Martin, bekas pelumba Pramac Ducati itu berdepan kontroversi dengan Aprilia membabitkan kontrak sebelum membuat pusingan 'U' untuk kekal menghormati kontraknya bersama pasukan dari Itali itu.

Keputusan menyaksikan Aprilia kini menghuni tangga ke-2 kedudukan carta pengeluar MotoGP, tetapi ketinggalan jauh 243 mata daripada Ducati dan memiliki kelebihan 12 mata daripada KTM.

Sekali pun menghuni tangga ke-21 dalam carta kedudukan pelumba dengan sembilan mata, apa yang diperoleh Martin lebih baik berbanding pelumba ujian, Lorenzo Savadori dan pelumba rookie MotoGP dari Thailand, Somkiat Chantra.