BOS Aprilia Racing Dedah Ada Pasukan Tawar 'Wang Besar' Pancing Pelumbanya

Massimo Rivola mengakui yang pasaran pelumba untuk musim 2027 bergerak pantas kerana hampir semua kontrak pelumba di grid akan tamat tahun ini termasuk di Aprilia, sekali gus menjadikan ramai nama-nama besar menjadi 'bebas'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/16/20261 min read

BOS Aprilia Racing, Massimo Rivola mendedahkan ada pasukan sudah mula menawarkan jumlah wang yang besar untuk mendapatkan dua pelumba utamanya, Marco Bezzecchi dan Jorge Martin bagi musim 2027.

Begitupun, Rivola mengakui yang pasaran pelumba untuk musim 2027 bergerak pantas kerana hampir semua kontrak pelumba di grid akan tamat tahun ini, sekali gus menjadikan ramai nama-nama besar sebagai ejen bebas.

Aprilia kini berada dalam kedudukan yang kukuh selepas mencatat musim terbaik mereka pada 2025, dengan Bezzecchi meraih tiga kemenangan GP dan menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan.

Rivola mengakui rundingan lanjutan kontrak dengan Bezzecchi sudah bermula, manakala perbincangan dengan Martin masih belum dilakukan tetapi apa yang menarik, kedua-duanya sudah pun dipancing pasukan lain.

"Sejujur-jujurnya saya lebih gemar tidak melakukannya dengan pantas. Tetapi mungkin saya perlu lakukan dengan cepat kerana orang lain bergerak dengan pantas," kata Rivola.

"Saya tahu yang mereka menawarkan wang yang banyak kepada pelumba-pelumba kami. Tetapi pada akhirnya, ia adalah komitmen yang kami perlukan untuk terus bersama. Jelas, dengan Marco, kami mula membina sesuatu yang boleh kekal dalam buku sejarah.

"Dengan Jorge, kami belum memulakannya. Saya mahu melihatnya 100 peratus secara fizikal, dan dia tidak berada jauh daripada perkara itu. Dan dia adalah juara dunia, jadi pasti bagus untuk melihatnya bersama kami di masa depan.

"Tetapi sebagai permulaa, kami perlu memberinya masa. Keutamaan ketika ini adalah untuk memiliki jentera paling baik."

Rivola menambah keutamaan Aprilia ketika ini adalah memastikan jentera RS-GP terus kompetitif menjelang perubahan besar peraturan musim depan.

Seperti diketahui, Martin sebelum ini dikaitkan dengan Honda selepas cuba mengaktifkan klausa prestasi dalam kontraknya bersama Aprilia. Juara dunia MotoGP 2024 itu dilaporkan kekal sebagai sasaran utama HRC.