BOS Aprilia 'Tembak' Marc Marquez

Situasi itu tercetus apabila pengurusan Aprilia diasak dengan pelbagai persoalan mengenai penggunaan 'team order' sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dalam misi pemburuan gelaran dunia MotoGP pertama mereka

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/3/20261 min read

MASSIMO Rivola membidas kenyataan Marc Marquez yang menyatakan Aprilia akan menggunakan 'team order', malah mendakwa pelumba Sepanyol itu bersama kem Ducati turut 'bermain taktik' membabitkan keluarga.

Situasi itu tercetus apabila pengurusan Aprilia diasak dengan pelbagai persoalan mengenai penggunaan 'team order' sejak beberapa minggu kebelakangan ini, dalam misi pemburuan gelaran dunia MotoGP pertama mereka.

Isu berkenaan kembali hangat diperkatakan susulan insiden perlumbaan pecut di Grand Prix (GP) Malaysia, yang menyaksikan Marco Bezzecchi memintas Ai Ogura pada penghujung saingan, sebelum kedua-dua pelumba itu bertembung pada perlumbaan utama.

Mengulas insiden itu kepada DAZN, Marquez mendakwa: "Ogura cuba kekal di hadapan kerana dia tahu dia akan terlepas podium jika tidak berbuat demikian. Dia tidak boleh berada di antara saya dan Bezzecchi, jika tidak dia akan merampas mata penting daripadanya."

Kenyataan itu jelas mengundang rasa kurang senang Ketua Pegawai Eksekutif Aprilia Racing, Rivola yang pantas membalas sindiran itu dengan membangkitkan isu taktik team order Ducati yang didakwa bermula dari dalam keluarga Marquez sendiri.

"Sejujurnya, apa yang diperkatakan oleh Marc tidak begitu menarik minat saya. Hal ini kerana, saya fikir mereka juga bermain taktik pesanan pasukan di 'rumah', bersama keluarga mereka sendiri,"kata Rivola.

Sindiran tajam Rivola itu dipercayai merujuk kepada insiden perlumbaan pecut di Phillip Island, apabila adik Marc, Alex Marquez mengakui dia enggan mengambil risiko memintas abangnya semata-mata untuk merebut kemenangan.

Ketika ini, Marquez selesa mendahului kedudukan kejuaraan dengan kelebihan 44 mata selepas menang di Sepang berikutan penarikan diri Jorge Martin akibat kecederaan, manakala Bezzecchi ketinggalan 67 mata dan berpeluang memburu gelaran di Qatar hujung minggu ini.