'BOS Baru Red Bull KTM Tiada Polisi Mengarut'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/3/20251 min read

PASUKAN Red Bull KTM Factory Racing memperoleh Pengurus baharu musim ini iaitu Aki Ajo dan kehadiran individu berpengaruh di grid MotoGP itu amat dialu-alukan oleh Brad Binder.

Binder sebelum ini menjulang gelaran dunia Moto3 ketika bersama pasukan milik Ajo pada 2016 dan antara pelumba yang pernah menjulang gelaran dunia bersamanya termasuklah Marc Marquez dan Pedro Acosta.

Ajo menggantikan Francesco Guidotti sebagai pengurus pada musim ini dan ia sesuatu yang mengujakan Binder kerana menurutnya, pengurus kelahiran Finland itu tidak mempunyai polisi yang mengarut.

"Sejujurnya, Aki adalah seorang yang amat hebat bagi saya kerana saya sebelum ini menghabiskan masa beberapa tahun dengannya di Moto3 dan Moto2," kata Binder.

"Dan saya benar-benar gemar gaya bagaimana cara dia mengendalikan perkara.

"Bagi saya, dia seorang yang cukup berterus terang, senang untuk berbincang tidak kira sama ada kamu fikir ia salah atau betul atau apa yang sedang berlaku.

"Dengan Aki, tidak akan ada polisi yang mengarut, jadi kamu tahu apa saja cakapnya adalah benar dan tiada perkara lain. Ia pasti akan menjadi sesuatu yang hebat dan saya tidak sabar."

Binder pada musim lalu menamatkan kempen di kedudukan kelima sebagai pelumba KTM terbaik sekalipun hanya memperoleh dua kedudukan podium pada perlumbaan pembuka tirai di Qatar.

Begitupun, pelumba kelahiran Afrika Selatan itu hanya dipisahkan dengan dua mata daripada pelumba 'rookie', Pedro Acosta yang menamatkan saingan di tangga keenam.