BOS Ducati Akui Pencabar Kini Makin 'Menakutkan'

Dominasi yang ditampilkan Ducati dalam kempen MotoGP musim ini tidak bermakna pengeluar Itali itu boleh mengurangkan fokus terutama dengan kebangkitan ditampilkan pencabarnya

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/24/20251 min read

Ducati
Ducati

PENGURUS Besar Ducati Corse, Gigi Dall’Igna mengakui ancaman daripada pencabar pasukan lain di MotoGP kian 'menakutkan' disebalik dominasi yang ditampilkan pelumbanya, Marc Marquez ketika ini.

Pengeluar Itali itu dalam landasan untuk mengekalkan gelarannya bagi musim 2025 selepas selesa memimpin carta dalam kedua-dua kategori - pengeluar dan pelumba.

Selepas 12 pusingan berlangsung, Ducati sudah memenangi 10 daripada 12 perlumbaan Grand Prix yang ditawarkan selain menyapu bersih Perlumbaan Sprint dengan pelumba bukan Ducati paling hampir dibezakan 225 mata menerusi Marco Bezzecchi dari Aprilia.

Dan Aprilia turut menghuni tangga kedua pengeluar tetapi ketinggalan 243 mata di belakang Ducati.

"Kita sudah memasuki pertengahan musim, dan kini adalah tempoh percutian yang baik, dan ia hadir tepat pada masanya untuk semua orang," kata Dall’Igna. "Ini adalah peluang untuk mengembalikan semula tenaga mental yang penting.

“Tenaga yang akhirnya akan keluar semula ke litar, menentang lawan yang semakin licik dan menakutkan, sesuatu yang kini bukan lagi ‘berita hangat’."

Sementara itu, Dall’Igna turut melambungkan pujian kepada pelumba bintangnya, Marquez yang sebelum rehat musim panas menjuarai gelaran berganda di Brno sekali gus meningkatkan kelebihannya di puncak kedudukan pelumba dengan 120 mata berbanding pencabar terdekatnya.

"Lapan kemenangan daripada 12 perlumbaan musim ini, ke-70 dalam kariernya, kelima gelaran berganda Sprint dan GP berturut-turut, Marc adalah pelumba Ducati pertama mencapai kejayaan itu, memenangi segala-galanya pada perlumbaan Sprint kecuali satu.

"Inilah keunggulan yang mengatasi kemenangan, dan menjadi bukti nyata terhadap usaha hebat dalam keserasian antara jentera dan penunggang yang membuatkan kami cukup berbangga."