BOS Ducati Bagi Petunjuk Siapa Gandingan Pecco Musim Depan

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/10/20241 min read

BOS Ducati Corse, Gigi Dall’Igna akhirnya memberi petunjuk pelumba yang bakal mengisi kerusi panas bergandingan dengan juara dunia MotoGP dua kali, Francesco Bagnaia musim depan.

Ketika ini, tiga nama kuat dikaitkan dengan posisi berkenaan - Enea Bastianini (Ducati Lenovo), Jorge Martin (Pramac Racing) dan Marc Marquez (Gresini Racing).

Mengakui masa makin suntuk untuk Ducati Corse membuat pilihan, Dall’Igna yang juga Pengurus Besar akhirnya membuka mulut membabitkan pilihan yang bakal dibuat.

Dan menariknya, penentu utama bukanlah kepada keputusan pada musim 2024, namun turut membabitkan sejarah pelumba.

"Ia benar-benar keputusan yang amat sukar," kata Dall’Igna. "Sejujur-jujurnya kami tidak hanya membuat pertimbangan hanya membabitkan perlumbaan pada 2024.

"Kami perlu mempertimbangkan sejarah semua pelumba-pelumba kami. Saya fikir ini adalah penting.

"Ia keputusan yang amat sukar kerana ketiga-tiga pelumba adalah juara. Kita akan lihat..."

Apa yang sedikit memeningkan, tidak diketahui sama keutamaan Dall’Igna terhadap 'sejarah' itu adalah membabitkan pengeluar Itali itu atau MotoGP secara keseluruhan.

Untuk Marquez, pelumba Sepanyol itu tidak memiliki 'sejarah' dengan Ducati kerana baru menyertai pengeluar itu musim ini namun sejarahnya bersama MotoGP cukup menakjubkan dan memiliki lapan gelaran dunia.

Martin yang juga naib juara MotoGP musim lalu ketika ini memimpin carta kejuaraan dengan Bastianini di tangga ketiga, ketinggalan 22 mata di dengan Marquez di kedudukan ke-6.

Seperti diketahui, Marquez dan Martin sudah menyatakan mereka akan berlumba bersama pasukan 'Factory' pada musim depan malah bukan pasukan satelit yang menggunakan jentera spesifikasi terkini.

Mengulas lanjut, Dall’Igna menegaskan keputusan yang besar akan dibuat di Mugello yang menjadi venue pusingan ketujuh kejuaraan pada penghujung bulan ini.

"Ya, kami perlu adil kepada semua pelumba," katanya. "Kami perlu memberikan mereka peluang untuk mencari jalan berlumba dengan menunggang jentera paling terbaik, jika ia bukan Ducati. Jadi saya fikir jangka masa itu adalah munasabah."