BOS Ducati Terkejut 'Kemajuan' Pantas Yamaha

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/11/20251 min read

BOS Ducati Lenovo, Davide Tardozzi tidak pernah ragu Yamaha akan membuat kebangkitan di MotoGP tetapi apa yang mengejutkannya, kemajuan dilakukan pengeluar Jepun itu amat pantas.

Kekal mendominasi ujian masa pra-musim di Sepang, minggu lalu dengan empat daripada penunggangnya mengisi kedudukan lima terpantas, terselit pelumba Yamaha menerusi Fabio Quartararo yang merakam masa ketiga terpantas.

Di Sepang, pelumba pasukan satelit Gresini Ducati, Alex Marquez mencatatkan masa terpantas menggunakan jentera Ducati GP24 diikuti Francesco Bagnaia (Ducati Lenovo) GP25 di tangga kedua.

Quartararo mengisi tangga ketiga dan menjadi salah seorang daripada empat pelumba yang melakukan catatan bawah 1 minit 57 saat sekali gus lebih baik daripada seorang lagi pelumba Ducati Lenovo, Marc Marquez.

"Saya tahu mereka (Yamaha) akan membuat kemajuan, tetapi saya tidak sangka ia sepantas ini," kata Tardozzi kepada MotoGP.com.

"Tetapi apapun, saya mengenali Massimo Bartolini dengan amat baik, dan saya yakin dia mampu membuatkan mereka melakukan langkahan yang besar.

"Kini saya tahu yang mereka memang mendengar nasihatnya dan saya fikir mereka mempunyai pelumba yang menakjubkan seperti Fabio, jadi sudah tentu ketika ini dia adalah pencabar kami."

Melakukan catatan ke-4 terpantas adalah pelumba VR46 Ducati, Franco Morbidelli yang turut melakukan catatan bawah 1 minit 57 saat dengan Marc Marquez di tangga kelima terpantas.

Pelumba KTM terpantas adalah Pedro Acosta di kedudukan ke-6 terpantas dengan Honda menerusi pelumba satelitnya, Johann Zarco mencatatkan masa ke-7 terpantas.

Pelumba terpantas Aprilia adalah rakan sepasukan juara dunia, Jorge Martin, Marco Bezzecchi yang melakukan catatan ke-9 terpantas.