BOS KTM Dedah Cryptodata RNF Aprilia MotoGP Team Berdepan Masalah Kewangan, Razlan Dalam Dilema?

TULARSUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/22/20231 min read

PASUKAN CryptoData RNF MotoGP Team, pasukan yang dikendalikan rakyat Malaysia, Datuk Razlan Razali sebagai Prinsipal dan beraksi di kancah elit MotoGP 2023 menggunakan jentera Aprilia RS-GP didakwa sedang berdepan masalah kewangan.

Pendedahan itu dinyatakan oleh bos besar pasukan KTM, Stefan Pierer yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pierer, syarikat yang memiliki KTM dalam satu temu ramah bersama Speedweek.

Ketika berbicara mengenai perancangan pasukannya bagi musim depan, Pierer dalam masa sama turut menyebut dia mendapat maklumat mengenai situasi yang berlaku kepada CryptoData RNF MotoGP Team.

"Saya dengar yang pasukan kedua Aprilia (CryptoData RNF MotoGP Team) sudah pun berdepan kepayahan dari sudut kewangan. Ia perlu disokong oleh Aprilia," kata Pierer.

"Satu atau yang lain, satu tempat pasti akan jatuh. Saya bertaruh dengan kamu!"

KTM ketika ini berdepan kemelut tersendiri iaitu bagaimana untuk memiliki lima pelumba di grid MotoGP musim depan dan salah satu caranya adalah untuk membeli salah satu pasukan satelit yang ada.

"Benar, jika sesuatu datang kepada kami, kami akan mengambilnya. Saya menjangkakan satu atau ada tempat di MotoGP akan tersedia dan ia akan melengkapkan lima pelumba kami," katanya.

KTM ketika ini memiliki empat tempat di MotoGP bersama pasukan satelit, Tech3 GASGAS dengan pelumbanya Jack Miller, Brad Binder dan Pol Espargaro memiliki kontrak sehingga tahun 2024.

Seorang lagi pelumbanya, Augusto Fernandez mempunyai kontrak sehingga hujung musim ini tetapi diberi jaminan oleh Pierer yang kontrak juara dunia Moto2 tahun lalu itu akan kekal bersama pasukan itu pada musim depan.

Selain itu, pasukan itu turut memberi jaminan kepada 'anak emasnya' yang sedang beraksi di Moto2 ketika ini, Pedro Acosta yang dia akan diberikan tempat untuk beraksi di MotoGP musim depan.

Selain mendedahkan perkembangan mengenai Cryptodata RNF Aprilia MotoGP Team, Pierer turut menyuarakan kebimbangan yang Honda akan mengikuti jejak langkah yang diambil Suzuki.