BOS MForce Bike Jawab 'Tuduhan' Babit ZXMOTO!
Pengedar dan pemasang motosikal tempatan, MForce Bike secara rasmi mengumumkan pelantikan mereka sebagai pengedar eksklusif jenama motosikal ZXMoto di Malaysia, minggu lalu
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/22/20262 min read


SEPERTI diketahui, kehadiran jenama motosikal China yang sedang popular, ZXMoto ke pasaran Malaysia adalah menerusi MForce Bike dan perkembangan itu turut menghadirkan pelbagai kata-kata yang kurang enak didengar khususnya kepada pengedar eksklusifnya itu.
Pengedar dan pemasang motosikal tempatan, MForce Bike secara rasmi mengumumkan pelantikan mereka sebagai pengedar eksklusif jenama motosikal ZXMoto di Malaysia, minggu lalu.
Bercakap pada sesi siaran langsung di media sosial, Ketua Pegawai Operasi (COO) MForce Bike, Asri Ahmad mengakui pelantikan syarikat itu turut menimbulkan pelbagai tuduhan termasuk pembabitan MForce selepas jenama itu menjadi popular susulan kejayaan di WSBK.
Menurut Asri, langkah membawa masuk jenama itu bermula sejak tahun lalu selepas melihat potensi besarnya, terutamanya dalam menarik minat demografi pengguna muda.
"Kami pertama kali melihat ZXMoto pada pameran motosikal antarabangsa CIMA di Chongqing, China. Reka bentuknya sangat menarik dan sememangnya disukai oleh pengguna muda.
"Kami memulakan perbincangan di sana dan ia kemudiannya diteruskan di pameran EICMA (Pameran Motosikal Milan). Walaupun ZXMoto adalah sebuah jenama baharu, kami nampak semangat dan kesungguhan mereka untuk mencipta kejayaan.
"MForce tidak menunggu sehingga jenama ini 'meletup' di pasaran baru hendak mencari peluang. Sebaliknya, kami sudah berurusan dengan mereka dari awal lagi," katanya.
Asri menambah, keyakinan ZXMOTOR terhadap MForce terbukti apabila pengasasnya sendiri terbang ke Malaysia pada Oktober tahun lalu untuk menilai keupayaan syarikat itu.
"Beliau (Zhang Xue) datang melawat dan melihat sendiri segala kepakaran yang kami miliki. Ini termasuklah kemudahan fasiliti, ruang penyimpanan, pengeluaran, penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta ketersediaan alat ganti dan khidmat selepas jualan.
"Malah, beliau juga turun melihat sendiri rangkaian yang kita ada dan berjumpa dengan beberapa pengedar bagi menilai kekuatan sebenar MForce di pasaran tempatan," jelasnya.
Menyentuh mengenai bilakah jentera ZXMoto akan berada di atas jalan raya Malaysia, Asri memaklumkan bahawa unit ujian motosikal berkenaan sudah pun diterima pada Januari lalu.
"Ketika ini, pihak kami sedang giat menjalankan proses ujian ke atas sampel itu. Ia sedang melalui proses dokumentasi dan kelulusan termasuk mendapatkan pensijilan ECE, kelulusan homologasi (VTA) serta sijil daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Setiap motosikal perlu memastikan ia mematuhi piawaian emisi Euro 4 yang ditetapkan. Proses ini sememangnya akan memakan sedikit masa sebelum ia sedia untuk dilancarkan ke pasaran," kata Asri.

