BOS, Pelumba, Mekanik RNF MotoGP Kongsi Pengalaman, Ilmu Dalam Forum MAM, KBS

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

11/9/20231 min read

SEBAGAI cara untuk memperkasakan pembangunan bakat serta meningkatkan minat anak muda dalam industri sukan permotoran di Malaysia, satu forum membabitkan 'muka penting' pasukan MotoGP Malaysia, CryptoDATA RNF MotoGP dianjurkan oleh MAM, baru-baru ini.

Acara yang dianjurkan bersama Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), dengan kerjasama Kementerian Belia & Sukan (KBS) dan pasukan CryptoDATA RNF MotoGP itu antara acara selingan kepada Grand Prix Malaysia 2023 yang dijadual berlangsung, hujung minggu ini.

Sesi penuh manfaat itu dihadiri oleh sekitar 100 pelajar dari Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) terpilih di Jitra, Kedah dan Sepang, Selangor yang fokus kepada bahagian mekanikal dua roda.

Tampil di atas pentas sesi forum dan soal jawab itu adalah pemilik dan Prinsipal pasukan CryptoDATA RNF MotoGP, Dato Razlan, pelumba, Raul Fernandez dan mekanik pasukan, Hibbatullah Fuad atau dikenali dengan panggilan Habib.

Kepada yang tak tahu dan turut membanggakan, Razlan adalah satu-satunya Prinsipal pasukan MotoGP dari Asia Tenggara dengan Habib satu-satunya mekanik Malaysia di 'paddock' MotoGP.

Secara keseluruhan, ada tujuh warga Malaysia yang bekerja bersama pasukan CryptoDATA RNF MotoGP termasuk Razlan ketika ini dan pelbagai bidang kepakaran.

Antara pengisian menarik daripada forum berkenaan termasuklah perkongsian pengalaman daripada Razlan dan Habib yang dilihat memberi kesan kepada peserta.

Turut hadir pada program berkenaan adalah bekas pelumba GP negara, Zulfahmi Khairuddin, pelumba negara di sainga Eropah, Hakim Danish Ramli dan barisan pelumba negara dari kejohanan FIM MiniGP Malaysia, Kejohanan Minibike Malaysia, Kejohanan Mini Cup Prix dan pemilik-pemilik motosikal jenama Aprilia di Malaysia.

Sementara itu, MAM bersama CryptoDATA RNF MotoGP bakal bekerjasama dengan IKBN untuk mengenali pelajar cemerlang yang akan diberi peluang mempelajari lebih dekat bersama pasukan ini pada ‘Sepang Test 2024’ nanti.

Menurut MAM, kerjasama ini diharap dapat memberi impak yang besar kepada pembangunan sukan permotoran yang tidak hanya tertumpu kepada pelumba tetapi kepada aspek yang lain termasuk pembangunan mekanik, jurutera dan pegawai dalam pasukan perlumbaan.

Hadir sama adalah majlis berkenaan Timbalan Presiden MAM, Dato’ Mohammed Rhiza Ghazi, Pengarah Eksekutif Didi Group, Juan Chow Wee (Pengedar Eksklusif Aprilia Malaysia), Ketua Pemasaran Piaggio Asia Pacific, Nicola Capello dan Ketua Jenama Piaggio Malaysia, Tan Soon Wei.