BOS Pramac Akui 'Terasa Hati' Dengan Ducati Isu Martin

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/3/20241 min read

BOS Pramac Racing, Paolo Campinoti mengakui tindakan Ducati Corse memilih Marc Marquez bagi 'kerusi panas' di Ducati Lenovo berbanding pelumbanya, Jerge Martin menjadi antara alasan pasukan itu menyertai Yamaha.

Selepas beberapa kali menafikan isu membabitkan 'perpindahan', Pramac akhirnya menandatangani kontrak perjanjian jangka panjang bersama Yamaha ketika Grand Prix Belanda 2024.

Lebih mengejutkan, tindakan itu turut bermakna Pramac meninggalkan jentera terbaik di grid MotoGP ketika ini untuk menunggang jentera yang sedang bergelut.

"Kami cukup percaya dengan projek Yamaha. Kami benar-benar percaya dengan kapasiti dan kemampuan Yamaha untuk bangkit," kata Campinoti kepada MotoGP.com.

"Kami berfikir yang masa kami di Ducati sudah tamat dan kami mempunyai beberapa pilihan yang tidak kami kongsikan, kami tidak bersetuju dan menjadi pasukan 'junior' Ducati adalah impian kami.

"Juga, untuk membawa pelumba muda ke pasukan 'Merah' adalah misi kami. Kami sudah melaksanakannya beberapa kami tetapi tahun ini kami merasa sedikit, tidak kecewa kerana ia bukan terma yang tepat tetapi kami merasakan seperti kami sudah dikecewakan.

"Kami merasakan yang Martin adalah pilihan yang lebih baik untuk menyertai mereka (Ducati Lenovo). Kami sudah melihat beberapa perubahan strategi yang tidak sesuai lagi untuk kami.

"Kami kemudian memperoleh satu lagi peluang yang hebat ini jadi kami memutuskan untuk melakukannya," katanya.

Mengulas lanjut, Campinoti turut menuding jari kepada Ducati yang didakwa seoalah-olah tidak menghargai apa yang dilakukan pasukan itu dan pelumbanya.

"Sudah tentu ia adalah pencetus kerana jika kamu tidak melakukan tugas kami dengan penuh semangat, dengan objektif dan objektif kami adalah untuk membawa pelumba muda dan membawa mereka ke tahap berikutnya," kata Campinoti.

"Dan apabila kamu gagal atau apa yang kamu lakukan tidak diiktiraf atau mendapat penghargaan jadi kamu akan berfikir mungkin kamu tidak melakukan perkara dengan betul.

"Ada peluang hebat yang lain dan mereka berkongsi cita-cita yang sama jadi ia adalah peluang untuk berubah," katanya.

Martin pada musim lalu bersaing sengit dengan Francesco Bagnaia bagi pemburuan kejuaraan dunia MotoGP sebelum terpaksa akur di kedudukan kedua namun Pramac berjaya muncul juara dunia berpasukan.

Setakat ini, Pramac masih belum menyenaraikan pelumba bagi projek bersama Yamaha musim depan.