BOS SIC Beri Bayangan Ada Pelumba 'Wildcard' Di GP Malaysia 2023?

TERKINI

10/17/20231 min read

KURANG sebulan sebelum Grand Prix (GP) Malaysia 2023 dijadual membuka tirainya, masih belum ada pengesahan rasmi mengenai 'penambahan' wakil negara menerusi tiket 'Wildcard' diumumkan.

Begitupun, dalam sidang media taklimat trafik dan keselamatan bersama Polis Diraja Malaysia sempena perlumbaan itu, hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Azhan Shafriman Hanif seperti memberi bayangan akan ada lagi pelumba negara memeriahkan perlumbaan itu.

"Setakat ini, kita belum mendapat sebarang pengesahan rasmi mengenai penyertaan menerusi tiket 'Wildcard'," kata Shafriman.

"Kita pada tahun ini mempunyai pelumba yang beraksi semusim penuh di Moto3, Syarifudin Azman dan empat pelumba di perlumbaan sokongan Asia Talent Cup (ATC). Jadi secara keseluruhan, kita mempunyai lima wakil di GP Malaysia 2023 nanti.

"Begitupun, saya tidak mahu menolak kemungkinan akan ada pihak lain melakukannya (Wildcard).

"Bagi kami, lebih ramai wakil negara lebih baik dan sambutan yang akan diterima lebih bagus," katanya yang turut memberi bayangan penyertaan itu berkemungkinan datang dalam kelas Moto2.

Tahun lalu, Malaysia yang tidak mempunyai wakil 'tetap' di Kejuaraan Motosikal Dunia mempertaruhkan tiga pelumba 'Wildcard' yang diisi Syarifuddin atau Damok dalam kelas Moto3.

Turut beraksi adalah Kasma Daniel Kasmayuddin dan Azroy Hakeem Anuar yang berlumba dalam kelas Moto2 bersama pasukan Petronas Mie Racing selain Hakim Danish Ramli di ATC.

Sebagai info, permohonan untuk tiket 'wildcard' dibuka selama 45 hari sebelum tarikh perlumbaan dengan kelulusan tertakluk kepada Dorna (Penganjur) dan IRTA (Persatuan Pasukan Perlumbaan Jalan Raya Antarabangsa).