BOS Yamaha Dedah Kenapa Pilih Rins, Singkir Morbidelli

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/13/20231 min read

PERNAH mengharungi kejayaan hebat bersama Valentino Rossi, Jorge Lorenzo dan Fabio Quartararo, bos Yamaha Lin Jarvis ketika ini melihat dirinya berada dalam situasi sukar yang memerlukan tindakan drastik diambil.

Sebagai usaha untuk mengembalikan kegemilangan Yamaha, beliau menyingkirkan Franco Morbidelli dan menyambar pelumba LCR Honda yang juga bekas pelumba Suzuki, Alex Rins bagi memacu pasukan itu musim depan.

"Ia adalah keputusan pasukan untuk melakukan perubahan," kata Jarvis. "Dari sudut peribadi, ia adalah sesuatu yang pasukan tidak perlu lakukan, tetapi memutuskan untuk melakukannya.

"Saya fikir ia berjalan dengan baik untuk kedua-dua pihak. Jika kamu tidak mampu untuk mengekstrak prestasi terbaik seseorang pelumba, kadang kala perubahan boleh menjadi sesuatu yang baik untuk pelumba dan pasukan.

"Jika kita tahu mengenai masa depan, ia akan menjadi lebih mudah. Ini adalah masa untuk melakukan perubahan. Franky beraksi dengan lebih baik pada tahun ini berbanding tahun lepas. Ia bagus dalam beberapa perlumbaan, sebagai contoh Argentina.

"Kami mendapat petanda yang Franky 'yang lama' sudah kembali. Ia sesuatu yang bagus.

"Tetapi pada masa sama, untuk masa depan, kami memutuskan untuk berubah. Kadang kala seperti pasukan bole sepak, kamu perlu melakukan perubahan dan hanya masa akan memberitahu sama ia akan memihak kepada kami atau Franky," kata Jarvis.

Selain Rins, pelumba Ducati iaitu Jorge Martin dan Marco Bezzecchi turut dikaitkan dengan Yamaha namun ada sesuatu yang istimewa mengenai pelumba Sepnyol itu.

"Ia sesuatu yang baik, dia (Rins) mempunyai banyak pengalaman. Dia tidak mempunyai gelaran dunia setakat ini tetapi dia sudah memenangi banyak perlumbaan," kata Jarvis.

"Apa yang saya gemar mengenai Alex? Pengalamannya boleh menjadi sesuatu yang penting untuk kami.

"Semangat juangnya, dia menjadi satu-satunya pelumba bukan Ducati yang memenangi perlumbaan pada tahun ini, itu saja sudah menyatakan sesuatu. Dia juga memenangi dua perlumbaan berturut-turut pada hujung musim lepas. Dia menunggang dengan baik.

"Dia mahu bersama pasukan Yamaha, dia meluahkan keinginannya untuk bersama kami. Sebagai tambahan pengalamannya dengan 4 Silinder Sebaris sepatutnya membantunya untuk mengadaptasi.

"Dia akan menjadi rakan sepasukan yang baik untuk Fabio yang akan meningkatkan tahap jentera kami dan juga kedua-dua pelumba," katanya.