BOSAN Kalau Tak Berlumba, WEC Lagi 'Susah' Dari MotoGP - Valentino Rossi
SUKAN PERMOTORAN 4 RODA
4/30/20242 min read
LEGENDA Itali, Valentino Rossi menggantung sut lumbanya MotoGP pada penghujung musim 2021 dan tak menunggu lama, juara dunia sembilan kali itu menukar karier profesionalnya sebagai pelumba perlumbaan jentera empat roda.
Beraksi di saingan berprestij Kejuaraan Endurance Dunia (WEC), Rossi yang beraksi bersama pasukan WRT BMW meraih podium pertamanya di perlumbaan 6 Hours of Imola di Itali, baru-baru ini.
Dan pelumba berusia 45 tahun itu akhirnya memberikan penjelasan mengenai perbezaan kedua-dua kejuaraan dan menariknya, seperti menyatakan yang WEC lebih 'sukar' berbanding MotoGP.
"MotoGP amat mudah. Kamu tiba di grid, 40 minit, tiga selokoh pertama amat penting, kemudian mendatar sehingga penamat," kata Rossi memetik laporan Crash.net.
"Di sini (WEC), kamu memerlukan banyak strategi. Kamu perlu 'menyimpan' tayar, menguruskan trafik, perlu bersedia untuk mengubah rancangan kamu.
"Ia perubahan yang besar, dan cabaran yang besar. Tetapi daripada banyak sudut pandang, ia tetap perkara yang sama.
"Di WEC kamu duduk dan mempunyai stering, tetapi untuk melakukan brek, garisan perlumbaan dan bersaing dengan pelumba lain agak sama. Saya fikir bakat saya pada motosikal adalah sama seperti yang saya rasa dengan jentera."
Sebelum bersara daripada MotoGP, Rossi sememangnya diketahui mahu berlumba menggunakan jentera empat roda malah pada satu ketika pernah menguji jentera Formula 1.
"Saya mahu menjadi pelumba yang boleh berlumba dengan apa saja, ia adalah impian saya," katanya. "Saya tahu saya mahu berlumba kereta apabila saya bersara berlumba dengan motosikal.
"Masalah saya adalah saya tua! Saya memerlukan kurang daripada 10 tahun. Tetapi saya mampu bertambah baik dari tahun ke tahun dan sasaran saya adalah tiba pada tahap pelumba GT3.
"Itulah perbezaannya. Apabila kamu berusia 45 tahun, normal kamu tidak rasa perkara sama di usia 25 tahun. Dengan motosikal ia adalah masa untuk bersaran tetapi ia sukar.
"Bagi saya, bosan jika saya tidak berlumba. Saya menikmati kehidupan saya seperti ini sejak saya berusia 14 tahun. Saya akan berada di rumah tetapi selepas dua minggu, saya perlu berlumba."
Mengulas lanjut mengenai perbezaan WEC dan MotoGP, Rossi berkata dia terpaksa mengharungi banyak perbincangan dan pasukannya WRT melayannya seperti pelumba dan bukannya alat publisiti.
"MotoGP membabitkan perseorangan. Di sini ada lebih banyak kerja berpasukan. Terutama rakan sepasukan memandu jentera yang sama," kata Rossi.
"Dalam perlumbaan kereta kamu sentiasa mempunyai banyak mesyuarat, dengan motosikal ia kurang sedikit," katanya. "Taklimat dan mesyuarat adalah kerja keras!
"Saya sentiasa mahu berlumba dengan kereta dan ketika saya masih berlumba, saya sentiasa cuba berfikir di mana. Saya juga menggemari perlumbaan rali, tetapi selepas beberapa tahun saya fikir tempat yang betul adalah di GT3.
"Ini kerana ia adalah jentera yang hebat, laju. Catatan sepusingan mereka juga hampir sama dengan MotoGP jadi kamu menikmatinya.
"Bagi saya, segala-galanya baru dan saya perlu memahami pasukan yang mana. Saya bercakap dengan hampir kesemua pengeluar. Tetapi (bos WRT -Vincent Vosse) paling meyakinkan saya.
"Dia datang ke Tavullia dan bercakap mengenai perlumbaan, bukan publisiti. Dalam perjumpaan pertama, Vincent berkata kepada saya: "Saya perlu meletakkan kamu dalam persekitaran yang betul'.