BRAD Binder Tabik Pedro Acosta

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/25/20241 min read

BRAD Binder melabel pelumba pasukan satelit KTM, Pedro Acosta yang juga 'Rookie' MotoGP sebagai 'Amat istimewa' susulan kejayaan diraih pelumba muda itu di Grand Prix (GP) Portugal 2024.

Binder yang merangkul dua kedudukan naib juara pada aksi pembuka tirai MotoGP di Qatar mengharungi kempen kurang mengujakan di Portimao apabila mengalami kemalangan pada Perlumbaan Sprint sebelum meraih tempat keempat pada perlumbaan GP.

Tetapi kedudukan yang diraih oleh Acosta - ketiga - jelas lebih baik berbandingnya selain ia turut diperoleh selepas insiden yang menyaksikan Pecco Bagnaia dan Marc Marquez terkeluar daripada persaingan.

Dan berikutan itu, pelumba muda kelahiran Sepanyol yang beraksi bersama pasukan satelit KTM, Red Bull GASGAS Tech3 layak untuk mendapat pujian menggunung daripadanya.

"Apabila dia memintas saya dia terus memecut. Dia amat istimewa," kata Binder.

"Apabila kamu melihatnya kamu dapat melihat betapa bagusnya dia. Carad dia boleh mengawal jentera, mengambil selokoh pantas, dia benar-benar mempunyai kelas.

"Tahniah kepadanya. Dia benar-benar layak berada di podium. Saya sentiasa mempunyai rakan sepasukan yang baik dan rakan sepasukan yang sentiasa mendorong saya.

"Kamu boleh melihatnya sebagai rahmat atau sumpahan, tetapi ia sentiasa bagus untuk saya. Saya fikir kami bersama-sama boleh terus memberi tekanan kepada satu sama lain untuk membawa projek ini ke depan."

Sekalipun mengharungi kempen yang agak sukar di Portimao, Binder masih menghuni tangga kedua carta kedudukan pelumba MotoGP selepas mengutip keseluruhan 42 mata, ketinggalan 18 mata berbanding pendahulu Jorge Martin.

Acosta dalam pada itu mengisi tempat kelima selepas mengutip keseluruhan 28 mata.