BREMBO Labur RM 205.1 juta Buka Hab Pengeluaran Di Thailand

TERKINI

3/5/20241 min read

SYARIKAT yang terkenal sebagai antara pengeluar komponen brek terbaik dunia, Brembo terus mengukuhkan statusnya dengan membuka hab pengeluaran di Asia Tenggara, lebih tepat di Thailand.

Dan jumlah pelaburan yang dilakukan oleh syarikat berpangkalan di Curno, Itali itu cukup besar iaitu 40 juta Euro (RM 205.16).

Menurut laporan, fasiliti pengeluaran itu akan dibina di Rayong, Selatan Bangkok dan ia memfokuskan kepada sistem brek untuk motosikal terutama yang dikeluarkan di Thailand.

Fasiliti berkenaan juga dijangka akan mencipta sekitar 150 peluang pekerjaan dengan operasinya dijangka bermula pada suku pertama 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Brembo, Daniele Schillaci dalam kenyataan media menjelaskan pasaran Asean penting dalam usaha pengembangan syarikat itu di peringkat global.

Secara keseluruhan, sayap perniagaan motosikal Brembo menyumbang sekitar 13 peratus daripada keuntungan syarikat itu.

Sebagai info, Brembo juga adalah pemilik kepada jenama pengeluar kaliper brek motosikal terkemuka seperti Bybre dan J.Juan.

Kehadiran Brembo di Thailand mengikuti trend deretan pengeluar motosikal dan komponen motosikal antaranya Ducati, BMW Motorrad, Triumph, Bridgestone, Michelin yang turut memiliki fasiliti pengeluaran di negara itu.