BRIXTON Crossfire 150 XS (2023) Rasmi Di Malaysia, Mini Scrambler 'Ranggi', RM 8.8k!

PELANCARAN

8/25/20231 min read

PERKEMBANGAN menarik buat peminat motosikal mini di pasaran tempatan muncul ketika Kuala Lumpur Bike Show (KLBS) 2023 yang sedang berlangsung, ketika ini menerusi kemunculan Brixton Crossfire 150 XS (2023).

Membuat penampilan rasminya pada hari pertama KLBS 2023, semalam, Brixton Crossfire 150 XS (2023) adalah model kedua yang dilancarkan Brixton Malaysia pada tahun ini, mengikuti pelancaran 'abang besarnya', Brixton Cromwell 1200 (2023).

Diposisikan sebagai motosikal mini, Brixton Crossfire 150 XS (2023) begitupun tampil dengan penggayaan menarik dan unik bagaikan sebuah jentera Scrambler.

Sebelum pergi lebih jauh, tiga pilihan warna ditawarkan untuk motosikal ini iaitu:

  • Backstage Black

  • Clockwork Orange

  • Cargo Green

Dan harga yang diumumkan oleh Brixton Malaysia untuk Brixton Crossfire 150

XS (2023) ini adalah RM 8,788 (asas) tak termasuk insuran dan cukai jalan.

Mengulas spesifikasi trenkuasa, Brixton Crossfire 150 XS (2023) dipadankan dengan enjin bersesaran 150 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Penyejuk Udara, Suntikan Bahan Api yang digandingkan dengan transmisi 5 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihamburkan adalah 13.4 Hp pada 9,500 rpm dan tork 10.5 Nm pada 3,100 rpm.

Meskipun diposisi sebagai motosikal mini, Brixton Crossfire 150 XS (2023) memiliki ketinggian pelana 770 mm.

Sebagai info, motosikal kapcai popular Yamaha Y15ZR mempunyai ketinggian pelana 780 mm. Justeru, Brixton Crossfire 150 XS (2023) bukan saja sebuah motosikal 'fun bike', namun turut boleh 'disesah' untuk penggunaan harian ke tempat kerja.

Dengan berat 111 kg, sistem brek motosikal ini dijana brek cakera tunggal (depan - 220 mm, belakang - 190 mm).

Bagi menjamin kualiti perjalanan yang lancar, Brixton Crossfire 150 XS (2023) dilengkapi dengan sistem suspensi fork jenis terbalik (USD) di bahagian depan dan penyerap hentak tunggal (belakang).

Informasi penting lain adalah seperti tangki bahan api 11 liter dan set tayar bersaiz 120/70-12 (depan) dan 130/70-12 (belakang).

Seperti biasa, setiap pembelian Brixton Crossfire 150 XS akan menerima jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (Yang mana tiba dahulu) serta perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.