BRIXTON K750GT Sah Masuk Malaysia, Harga Bawah RM 40k!

Bukan sekadar khabar angin, perkembangan membabitkan Brixton K750GT itu diberitahu sendiri oleh Ketua Pegawai Operasi MForce Bike Holdings, Asri Ahmad dan ketibaannya dijadual selewat-lewatnya pada awal tahun 2027

TERKINI

10/29/20261 min read

MFORCE Bike mengesahkan Brixton K750GT - motosikal dalam segmen 'Grand Tourer' (GT) yang diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi program Proof of Concept (PoC) akan memasuki pasaran Malaysia.

Bukan sekadar khabar angin, perkembangan itu diberitahu sendiri oleh Ketua Pegawai Operasi MForce Bike Holdings, Asri Ahmad dan ketibaannya dijadual selewat-lewatnya pada awal tahun 2027.

Lebih menarik, Asri turut memberi bayangan model yang sarat dengan pelbagai spesifikasi menarik itu dijangka ditawarkan pada tanda harga yang sangat kompetitif, iaitu di bawah RM 40,000.

Ulas spesifikasi teknikal, Brixton K750GT dikuasakan oleh enjin bersesaran 730 cc, 2 Silinder Sebaris, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api dengan transmisi 6 kelajuan klac manual.

Kuasa yang dihamburkan adalah sebesar 75 Hp dan tork 69 Nm.

Menepati DNA sebuah jentera GT, motosikal ini direka khusus untuk menawarkan keselesaan tunggangan jarak jauh. Ia disumbangkan oleh rekaan tempat duduk yang luas, kedudukan hendal yang tinggi, serta kelengkapan cermin penghadang angin yang boleh dilaras secara elektronik.

Bagi menjamin pengendalian berkualiti, Brixton K750GT dipadankan dengan fork depan jenis terbalik (USD) bersaiz 41 milimeter (mm) yang boleh dilaras. Tugas membrek pula diserahkan kepada angkup empat omboh berkembar di bahagian hadapan, yang disokong oleh Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) keluaran jenama terkemuka, Bosch.

Selain itu, ia turut didatangkan dengan tangki bahan api berkapasiti besar iaitu 24 liter, sekali gus membolehkan penunggang melakukan perjalanan rentas negeri tanpa perlu kerap berhenti untuk mengisi minyak.