BRIXTON Tingkat Penawaran Di Malaysia, Brixton CrossFire 125 XS (2023) Jangka Lancar Di KLBS 2023?

TERKINI

8/22/20231 min read

BRIXTON Motorcycles Malaysia, pada Jun lepas melancarkan model aras tingginya Brixton Cromwell 1200 (2023) dan perkembangan terbaharu, satu lagi model terbaharu jenama itu dikhabarkan bakal menerjah pasaran tempatan.

Menurut maklumat, pelancaran model terbaharu jenama itu akan dibuat bersempena acara Kuala Lumpur Bike Show (KLBS) 2023 yang dijadual berlangsung dari 24 hingga 27 Ogos ini di World Trade Center Kuala Lumpur.

Seperti beberapa jenama lain, hak pengedaran rasmi dan eksklusif Brixton Motorcycles Malaysia dipegang oleh syarikat MForce Bike Holdings dan syarikat tempatan itu dikatakan akan cukup 'sibuk' ketika KLBS 2023.

Tak dapat dipastikan model apa yang bakal dilancarkan, tetapi menurut laporan rakan media MotoMalaya, ia adalah model motosikal dalam segmen 'Scrambler-mini' iaitu Brixton CrossFire 125 XS.

Dan laporan itu turut dikuatkan dengan imej hantaran yang dibuat di laman sosial rasmi syarikat itu, MForce TV.

Mengulas ringkas spesfikasi Brixton CrossFire 125 XS, ia dijana enjin bersesaran 125 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Penyejuk Udara yang menghasilkan kuasa 11 Hp pada 8,500 rpm dan tork 9.6 Nm pada 6,500 rpm.

Antara 'kekuatan' motosikal cilik ini pastinya membabitkan rekaannya yang unik. Selain itu, ia turut tampil dengan pelbagai ciri menarik lain antaranya penggunaan brek cakera depan dan belakang dengan sistem CBS (combine brake system), fork USD, penyerap hentak tungggal, dan tangki bahan api 11 liter.

Informasi lain termasuklah ketinggian pelana 760 mm, sistem lampu LED penuh dan panel meter digital.

Di pasaran Eropah, Brixton CrossFire 125 XS dijual pada harga bermula 2,599 Euro (RM 2,599) dan datang dalam tiga pilihan warna iaitu Clockwork Orange, Cargo Green dan Backstage Black.