BROOKS Malaysia Rai Pembukaan Outlet Sunway Pyramid, Qabil Irfan, ZK Antara Yang Hadir!

Menurut Brooks Malaysia, persediaan fizikal dan kecergasan menerusi sukan larian amat penting buat atlet pelbagai bidang, sekali gus amat bertepatan dengan falsafah jenama berkenaan iaitu 'Let's Run There'

TERKINI

4/15/20261 min read

JENAMA kelengkapan sukan larian terkemuka, Brooks, semalam merasmikan pembukaan cawangan kedai konsep baharunya di Malaysia yang terletak di Sunway Pyramid dengan majlis diserikan kehadiran lebih 100 tetamu jemputan termasuk atlet negara negara.

Apa yang menarik, sekali pun sinonim dengan aktiviti larian, Brooks Malaysia turut menjemput pelumba muda negara, Qabil Irfan Azlan serta bekas pelumba Moto3, Zulfahmi Khairuddin.

Menurut Brooks Malaysia, persediaan fizikal dan kecergasan menerusi sukan larian amat penting buat atlet pelbagai bidang, sekali gus amat bertepatan dengan falsafah jenama berkenaan iaitu 'Let's Run There'.

Justeru, pelumba seperti Qabil Irfan yang beraksi di dua kejuaraan utama musim ini - Moto4 Asia Cup dan Moto4 European Cup turut selari dengan falsafan mereka.

Sedikit info, cawangan Brooks di Sunway Pyramid menawarkan pengalaman premium dan antara yang unik adalah ia menyediakan ruang 'horizon zone' serta dilengkapi mesin analisis gaya larian (gait analysis) yang canggih.

Menerusi teknologi itu, ia akan memberikan penilaian tepat bagi membantu pelari mendapatkan padanan kasut yang paling sesuai dengan biomekanik larian mereka.

Selain Qabil dan ZK, antara atlet yang hadir termasuklah jaguh angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin selain pelumba berbasikal trek Muhammad Fadhil Mohd Zonis, Nur Aisyah Mohamad Zubir, Anis Amira Rosidi dan atlet Muay Thai, Amisha Azril.