BSH Kemas Kini Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sports ES (2024) Di Malaysia, RM 119.4k
TERKINI
10/10/20241 min read


PENGEDAR eksklusif motosikal Honda di Malaysia, Boon Siew Honda (BSH) mengemaskini penawarannya dalam segmen 'Adventure touring' aras tinggi, Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sports ES (2024) di pasaran tempatan.
Begitupun, kemas kini yang berlaku hanya membabitkan kosmetik iaitu pilihan warna baharu serta corak grafik yang dikatakan lebih 'segar'.
Bersama kemas kini itu, turut baharu adalah harga yang diumumkan iaitu RM 119,388 (asas).
Seperti biasa, harga yang diumumkan tidak termasuk cukai jalan, insuran dan yuran pendaftaran.
Dan dua pilihan warna baharu yang ditawarkan adalah Matte Iridium Gray Metallic serta Pearl Glare White.
Seperti dinyatakan, tiada perubahan dari sudut spesifikasi dengan motosikal ini masih dijana enjin bersesaran 1,084 cc, 2 Silinder Parallel-twin yang menghasilkan kuasa setinggi 102 Hp pada 7,500 rpm dan tork 112 Nm pada 5,500 rpm.
Dipadankan dengan set roda 110/80-19 (depan) dan 150/70-18 (belakang), ia sememangnya memiliki kemampuan cukup baik untuk meredah laluan lasak.
Sistem suspensi menggunakan jenama Showa 43 mm boleh laras elektrik (depan dan belakang).
Tugas untuk memberhentikan motosikal ini diberikan kepada cakera berkembar dengan kaliper empat piston manakala brek belakang menggunakan kaliper 2 piston.
Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) datang secara standard dan pilihan untuk menyahaktifkan ABS belakang untuk tunggangan 'off-road'. Info lain adalah seperti tangki bahan api sebesar 24.5 liter dan berat 243 kg.
Seperti biasa, setiap pembelian datang dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000 km (yang mana tiba dahulu).
Kepada yang berminat, Honda Africa Twin Adventure Sports ES (2024) dijadual tiba di cawangan pengedar Honda Big Wing seluruh negara bermula 10 Oktober.








