BSH Kemas Kini Honda CRF250 Rally (2025), Asas Kekal RM 28.6k!
Dari segi kuasa, tiada perubahan dilakukan dengan Honda CRF250 Rally masih dijana oleh enjin silinder tunggal 250 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC.
TERKINI
8/27/20251 min read


SYARIKAT pengedar eksklusif motosikal jenama Honda di Malaysia, Boon Siew Honda (BSH) hari ini secara rasmi mengumumkan kemas kini untuk model 'dual-sport' popularnya yang tampil lebih menonjol dengan pilihan warna dan corak grafik baharu yang lebih garang.
Tetapi jangan terlalu teruja, kemas kini yang berlaku hanya membabitkan kosmetik iaitu pilihan warna dan corak grafik baharu.
Untuk versi 2025, ia ditawarkan dalam skema warna tunggal iaitu Extreme Red. Ia digabungkan dengan tona badan pelbagai warna serta pelana berwarna navy blue yang menyerlahkan lagi penampilannya.
Apa yang menarik, tiada perubahan membabitkan harga jualan asas yang disyorkan untuk Honda CRF250 Rally 2025 iaitu RM 28,599 (tidak termasuk cukai jalan, insurans, dan pendaftaran).
Dan ia dijangka akan mula tiba di semua cawangan pengedar sah Honda BigWing dan Honda Impian X di seluruh negara bermula hujung bulan ini.
Dari segi kuasa, tiada perubahan dilakukan dengan Honda CRF250 Rally masih dijana oleh enjin silinder tunggal 250 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC.
Menurut Honda, trenkuasa berkenaan memiliki sistem pengurusan haba yang lebih efisien, memastikannya kekal berprestasi walaupun dikerah dalam keadaan ekstrem.
Kuasa yang dihamburkan adalah 24.5 Hp pada 9,000 rpm dan tork 21.9 Nm pada 6,500 rpm.
Ciri-ciri lain yang melengkapkan jentera ini sebagai sebuah motosikal pengembaraan sejati termasuklah:
Lampu LED Berkembar
Penghadang Angin Terapung
Suspensi fork jenis terbalik (depan) dan penyerap hentak belakang Pro-Link
Sistem Brek Anti-Kunci (ABS)
Klac Bantuan & Gelincir
Tangki Bahan Api 12.8 liter
Setiap pembelian Honda CRF250 Rally 2025 datang dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau perbatuan 20,000 km, yang mana terdahulu.










