BSH Kemas Kini Honda Rebel (2025), 2 Warna Baharu, RM 33.9k!

Boon Siew Honda umum Honda Rebel (2025), motosikal bergaya kruiser menarik dan popularnya sudah mendarat bagi pasaran Malaysia bersama beberapa kemas kini termasuk dua pilihan warna baharu.

TERKINI

6/18/20251 min read

BOON Siew Honda (BSH) hari ini mengumumkan motosikal bergaya kruiser popularnya, Honda Rebel tampil dengan kemas kini bagi versi 2025 menerusi penawaran warna baharu yang dikatakan lebih menarik.

Dua pilihan warna baharu itu yang diharap memberi kesegaran kepada model berkenaan adalah Pearl Sugarcane Beige dan Matte Dim Grey Metallic bersama harga jualan asas RM 33,899 (tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan, insuran).

Sebagai model tunggal dalam segmen kruiser ditawarkan di katalog BSH, Honda Rebel (2025) tetap menjadi antara pilihan pengguna sekali pun rekaannya tidak mengalami perubahan ketara sejak beberapa tahun lalu.

Diperkenalkan di Jepun pada awal tahun ini, selain perubahan warna, turut dikemaskini adalah material membabitkan pelana.

Di bahagian trenkuasa, Honda Rebel (2025) dipadankan dengan enjin bersesaran 471 cc, 2 Silinder Parallel-Twin, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC dengan transmisi 6 kelajuan klac manual lengkap Assist & Slipper.

Kuasa yang dihasilkan adalah sebesar 45.6 Hp 8,500 rpm dan tork 43 Nm pada 6,500 rpm.

Sistem suspensi menggunakan fork teleskopik konvensional (depan) dan penyerap hentak tunggal (belakang).

Brek pula dijana cakera hidraulik tunggal depan dan belakang lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS)

Bagi meningkatkan gaya klasik, panel meter mengggunakan digital LCD berbentuk bulat yang memaparkan pelbagai info termasuk posisi gear dan takat minyak.

Info dan ciri-ciri menarik lain:

  • Lampu LED penuh

  • Tinggi pelana 690 mm

  • Panel meter digital LCD

  • Jarak lega bumi 125mm

  • Set roda 130/90-16 (depan) 150/80-16 (belakang)

  • Tangki bahan api 11.2 liter

  • Berat 191 kg

Seperti biasa, BSH menawarkan jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000 km (yang mana tiba dahulu).

Dan menurut BSH, Honda Rebel (2025) sudah boleh didapati di cawangan Honda BigWing seluruh negara bermula hari ini.