BSH Kemas Kini Penawaran Warna Honda ADV 160 (2024), Kini RM 13,249!

TERKINI

7/16/20241 min read

BOON Siew Honda (BSH), hari ini mengumumkan kemas kini untuk penawaran popularnya dalam segmen skuter bergaya 'Adventure', Honda ADV 160 (2024) menerusi pilihan warna baharu.

Selain pilihan warna baharu yang didakwa lebih menarik, turut dikemaskini adalah harga jualan asas iaitu RM 13,249 (asas) tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Dan seperti dijangka, harga baharu yang diumumkan menunjukkan peningkatan berbanding versi 2023 yang sebelum ini dijual pada harga RM 12,999 (asas).

Manakala dua pilihan warna baharu yang ditawarkan ialah Gray dan White.

Kepada yang tidak tahu, Honda ADV 160 'mendarat' di pasaran Malaysia pada awal tahun lalu. Justeru, tiada perubahan lain dibuat membabitkan rekaan mahupun spesifikasi mekanikal.

Memacu skuter ini kekal enjin eSP+ bersesaran 157 cc, 1 Silinder, 4 Injap bersama transmisi automatik CVT. Kuasa yang dihasilkan juga tidak berubah iaitu 15.5 Hp pada 8,500 rpm dan tork 14.7 Nm pada 6,500 rpm.

Turut tiada perubahan adalah ciri-ciri menarik Honda ADV 160 (2024) adalah seperti Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) 1 Saluran, HSTC (Honda Selectable Torque Control), Sistem Kunci Pintar lengkap dengan penggera anti-kecurian dan Idling Stop System (ISS).

Ciri-ciri menarik lain adalah seperti visor angin boleh laras (2 tetapan manual), kapasiti tangki bahan api 8.1 liter, ruang simpanan bawah pelana 30 liter dan port pengecas 5V 2.1A USB.

Kepada yang berminat, Honda ADV 160 (2024) akan mula tiba di cawangan pengedar Honda Impian X dan pengedar sah BSH seluruh negara bermula 18 Julai depan.

Seperti biasa, BHS menawarkan jaminan selama dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu).