BOON Siew Honda (BSH), sebagai inisiatif baharu untuk meningkatkan 'hubungan' antara pelanggan dan rangkaian pengedar eksklusifnya melancarkan aplikasi digital terbaharu dikenali 'Honda X'.
Seperti aplikasi lain turut membabitkan pengguna, 'Honda X' adalah platform digital direka untuk mewujudkan pengalaman yang lancar dan interaktif bagi komuniti pengguna motosikal Honda di Malaysia.
Boleh dimuatnaik melalui laman web syarikat itu, aplikasi 'Honda X' turut meningkatkan akses pengguna kepada maklumat syarikat itu selain memperkukuh hubungan antara BSH dan pelanggannya.
Tersedia secara percuma namun perlu melakukan pendaftaran tanpa bayaran, antara ciri yang ditawarkan oleh aplikasi ini adalah termasuklah menempah penyelenggaraan motosikal pelanggan.
Selain itu, ia turut datang dengan pelbagai lain ciri antaranya menerima pemberitahuan untuk peringatan perkhidmatan seterusnya, mendapatkan berita terkini, maklumat mengenai acara dan promosi.
Menurut BSH, aplikasi 'Honda X' juga akan memperkenalkan lebih banyak ciri pada masa akan datang, termasuk penawaran e-baucar dan Kupon Servis Percuma Digital pada tahun 2025 yang memberi nilai tambah kepada penggunanya.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BSH, Mitsuharu Funase, berkata pengenalan 'Honda X' menyaksikan pihaknya mengambil langkah besar ke depan dalam meningkatkan kesedaran dan pembabitan pelanggan.
"Platform ini akan meningkatkan pengalaman pelanggan dan berfungsi sebagai pusat komprehensif bagi pelanggan kami, membolehkan mereka berhubung dengan kami dan rangkaian pengedar eksklusif kami dengan lebih mudah dari sebelumnya.
"Matlamat kami adalah untuk menyediakan pengalaman yang luar biasa, menarik, dan cemerlang untuk setiap penunggang motosikal Honda."
Dan seperti biasa, pengguna memerlukan sambungan internet yang stabil untuk menikmati ciri-ciri yang tersedia untuk aplikasi 'Honda X' yang dikatakan memiliki paparan antara muka yang mesra pengguna dan menu yang komprehensi.
Sebagai tambahan, pelanggan yang mendaftar antara 30 Ogos hingga 30 September akan berpeluang menikmati diskaun 10 peratus untuk minyak enjin asli Honda.
Untuk menikmati faedah ini, pelanggan dikehendaki menunjukkan akaun 'Honda X' mereka di Honda Impian X atau Honda BigWing dan ia sah untuk penebusan satu kali sahaja selagi stok masih ada.
Selain itu, pihak BSH turut menyediakan sudut 'Honda X' ketika acara Honda Scoo-tival @ Merdeka Penang Foodstival 2024 yang sedang berlangsung sekarang hingga 1 September 2024 dengan pelanggan turut akan menerima barangan terhad apabila melakukan pendaftaran 'Honda X'.