BSH Perkenalkan Honda CRF250 Rally (2024), Harga Asas RM 28.6k!

TERKINI

7/12/20241 min read

BOON Siew Honda (BSH), hari ini mengumumkan kemas kini untuk model lasaknya, Honda CRF250 Rally (2024) yang kini hadir dengan pilihan warna baharu 'Extreme Red'.

Harga yang diumumkan oleh pengedar sah Honda itu adalah RM 28,599 (asas), tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insuran.

Sebagai permulaan, tiada perubahan dilakukan oleh pihak Honda untuk Honda CRF250 Rally (2024) dari sudut rekaan.

Tetapi, pilihan warna dan corak grafik 'Extreme Red' memang cukup mirip dengan warna dan corak grafik digunakan Honda Racing Corporation (HRC) pada model Honda CFR 450 untuk perlumbaan rali Dakar.

Mengulas trenkuasa, Honda CRF250 Rally (2024) yang 'padu' dibawa meredah laluan lasak ini dipadankan dengan enjin bersesaran 250 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, DOHC.

Sistem transmisi adalah enam kelajuan klac manual lengkap dengan 'Assist & Slipper' dengan kuasa yang dihamburkan berada pada angka 24 PS @ 9,000 rpm dan tork 23 Nm @ 6,500 rpm.

Ciri-ciri menarik lain adalah seperti penggunaan lampu LED, visor angin jenis 'floating', fork jenis terbaik dari jenama Showa, Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), lengan ayun jenis ringan dan kapasiti tangki bahan api 12.8 liter.

Seperti biasa, pihak BSH menawarkan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km jarak perjalanan (yang mana tiba dahulu).

Kepada yang berminat, Honda CRF250 Rally (2024) akan mula berada di cawangan pengedar Honda Big Wing seluruh negara bermula 16 Julai depan.