BSH Perkenalkan Semula Warna 'White Trico' Pada Honda RS150R, RM 8.4k!
TERKINI
11/22/20241 min read


BOON Siew Honda (BSH) memperkenalkan semula pilihan warna yang dikatakan mendapatkan permintaan 'hangat' iaitu 'White Trico' untuk model Supermoped pertamanya, Honda RS150R (2024).
Selain 'White Trico', dua lagi pilihan warna baharu yang ditawarkan untuk menyegarkan penawaran model yang mula berada di pasaran sejak 2016 itu adalah Matte Blue dan Silver.
Harga jualan asas yang diumumkan adalah RM 8,379 tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.
Dan menariknya, berlaku sedikit peningkatan harga berbanding yang ditawarkan pada tahun lalu.
Sebagai info, pilihan warna Trico yang sememangnya tampak unik pernah diperkenalkan oleh BSH pada 2018.
Seperti biasa, tiada perubahan dari sudut rekaan mahupun spesifikasi diumumkan.
Justeru, Honda RS150R (2024) kekal dengan padanan enjin bersesaran 149.2 cc, 1 Silinder, 4 Lejang, 4 Injap, Suntikan Bahan Api, Penyejuk Cecair, DOHC bersama transmisi 6 kelajuan klac manual.
Kuasa yang dihamburkan adalah 11.8 kW @ 9,000 rpm dengan tork maksimum 13.6 Nm @7,000 rpm.
Menariknya, Honda RS150R (2024) dikatakan mendapat klasifikasi Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dengan ciri-ciri menarik termasuklah sistem lampu LED penuh dan penggunaan panel meter digital LCD.
Seperti biasa, pihak BSH turut menawarkan jaminan perbatuan 20,000 km atau 2 tahun (yang mana tiba dahulu).
Kepada yang berminat, pilihan warna terbaharu ini akan mula tersedia di cawangan pengedar Honda Impian X dan kesemua cawangan pengedar sah Honda Motor Malaysia di seluruh negara pada penghujung bulan ini.












