BSH Raikan Ramadan Anjur Program 'Gerak Bersama Honda, Bersama Di Hati'

BERITA

4/4/20241 min read

BOON Siew Honda (BSH), baru-baru ini menganjurkan program sempena Ramadan, 'Gerak Bersama Honda, Bersama Di Hati' yang turut menjadi sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat itu.

Berlangsung di Pusat Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Kuala Lumpur, program berkenaan dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif BSH, Mitsuharu Funase, Ketua Eksekutif Pemasaran BSH, Kunitomo Asano dan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Tiga aktiviti utama dijalankan iaitu perkhidmatan pemeriksaan motosikal Honda percuma, pembungkusan dan pengedaran Pek Keceriaan Honda, serta pengagihan Bubur Lambuk kepada penduduk setempat.

Untuk program kali ini, sejumlah 80 slot pemeriksaan motosikal diperuntukkan kepada penduduk PPR Kampung Muhibbah dengan setiap motosikal yang mendaftar akan melalui 5 titik pemeriksaan merangkumi pemeriksaan tayar, minyak enjin, palam pencucuh, bateri dan rantai gegancu.

Pemilik motosikal kemudian boleh menebus servis penukaran minyak enjin percuma di Honda Impian X Chai Ken Motorcycles di Kinrara, Kuala Lumpur dan membaiki isu-isu lain yang telah dikenal pasti oleh juruteknik profesional Honda.

Selain itu, sebanyak 40 Pek Keceriaan Honda yang mengandungi makanan asas seperti beras, gula, minyak masak, biskut, garam, dan makanan dalam tin turut diedarkan oleh barisan pihak pengurusan BSH kepada rumah-rumah terpilih PPR Kampung Muhibbah.

Turut diedarkan adalah 1,000 bungkus Bubur Lambuk kepada penduduk PPR dengan setiap bungkusan Bubur Lambuk mengandungi kurma dan minuman serta penyerahan 300 set mewarna kepada kanak-kanak setempat.

Funase berkata ini adalah kali pertama BSH menyertai program komuniti berskala besar yang terdiri daripada pelbagai perkongsian rezeki kepada golongan secara lebih menyeluruh.

BSH dalam pada itu turut mengedarkan borang kajian soal selidik untuk mengumpul maklum balas penduduk terhadap perkhidmatan syarikat itu di negara ini.