BSH Tambah e-Waranti, Rekod Servis Dalam Aplikasi Honda X
Pengenalan dua ciri terbaharu ini membolehkan pemilik motosikal Honda mengakses status waranti dan rekod penyelenggaraan penuh jentera mereka terus melalui telefon pintar
TERKINI
6/27/20261 min read


PENGEDAR eksklusif motosikal jenama Honda di Malaysia, Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) mengorak langkah ke arah pendigitalan sepenuhnya apabila menambah dua ciri baharu iaitu e-Waranti dan Sejarah Servis menerusi platform digital pintarnya, Honda X.
Pengenalan dua ciri terbaharu ini membolehkan pemilik motosikal Honda mengakses status waranti dan rekod penyelenggaraan penuh jentera mereka terus melalui telefon pintar.
Dengan kemudahan e-Waranti, pengguna tidak perlu lagi merujuk buku log fizikal atau menghubungi pengedar semata-mata untuk menyemak tempoh liputan dan tarikh luput jaminan motosikal mereka.
Selain itu, ciri Sejarah Servis pula menawarkan rekod komprehensif yang disahkan merangkumi tarikh, jenis perkhidmatan dan pusat servis yang melakukan penyelenggaraan, tanpa memerlukan sebarang kemas kini aplikasi tambahan oleh pengguna.
Inisiatif digital ini bukan sekadar memudahkan urusan pemilik, malah ia memberi impak positif kepada nilai pasaran jentera kerana pembeli dan pengedar boleh mengesahkan sejarah penyelenggaraan motosikal secara serta-merta.
Ia sekali gus meningkatkan keyakinan dalam urusan jual beli.
Bagi rangkaian pengedar Honda pula, ciri ini mengurangkan masa pengesahan secara manual dan membolehkan proses servis dilakukan dengan lebih pantas dan tepat, terutamanya apabila pelanggan berkunjung ke pusat pengedar baharu buat kali pertama.
Sejak dilancarkan pada Ogos 2024, platform Honda X terus diperkasakan secara berperingkat bermula dengan pengenalan Kupon Servis Percuma digital, disusuli ciri 'Baucar Saya' pada April lalu, bagi menjadikannya hab sehenti berpusat untuk keperluan penunggang.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BSH, Kunitomo Asano berkata, kemudahan digital kini bukan lagi satu kelebihan, sebaliknya ia adalah keperluan yang diharapkan oleh penunggang masa kini bagi menikmati pengalaman pemilikan yang telus dan efisien.

