BSH Tambah Pilihan Warna Untuk Honda CBR650R, CB650R E-Clutch (2026)
Honda CBR650R (2026) yang berada dalam segmen 'Sportbike' diumumkan pada harga asas RM 49,999 manakala model 'naked' Honda CB650R E-Clutch (2026) pula diumumkan pada adalah RM 47,999
TERKINI
7/3/20261 min read


BOON Siew Honda (BSH) menambah pilihan warna baharu bagi dua modelnya yang dipadankan dengan teknologi e-clutch, Honda CBR650R E-Clutch dan CB650R E-Clutch (2026).
Bagi model 'Sportbike' Honda CBR650R E-Clutch, satu pilihan warna baharu ditambah dalam katalognya yang tampil lebih 'premium' iaitu Matte Gun Powder Black Metallic.
Selain itu, pilihan warna yang sinonim dengan perlumbaan, Grand Prix Red masih dikekalkan dengan harga jualan asas RM 49,999.
Sementara itu, model 'naked' Honda CB650R E-Clutch (2026) pula didatangkan dengan dua pilihan warna baharu iaitu Matte Jeans Blue Metallic dan Candy Energy Orange manakala pilihan Matte Gun Powder Black Metallic dikekalkan.
Dan harga yang diumumkan pada adalah RM 47,999 (asas).
Seperti namanya, keistimewaan utama kedua-dua model ini pastinya teknologi Honda E-Clutch yang dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.
Melalui inovasi ini, penunggang mempunyai pilihan untuk tidak lagi perlu menarik tuas klac untuk proses penukaran gear ke atas mahupun ke bawah.
Lebih menarik, enjin motosikal juga tidak akan mati apabila berhenti di persimpangan jalan meskipun penunggang tidak menarik tuas klac, memberikan pengalaman tunggangan yang jauh lebih mudah tanpa mengorbankan sensasi motosikal konvensional.
Dari segi mekanikal, kedua-dua model dikuasakan oleh enjin Euro5 bersesaran 649 cc, 4 Silinder Sebaris, 16 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api.
Kuasa yang dihamburkan adalah pada 70 kW pada 12,000 rpm dan tor 63 Nm pada 9,500 rpm.
Sistem suspensi dibekalkan dengan suspensi hadapan jenis terbalik (USD) Showa SFF-BP serta penyerap hentakan tunggal (monoshock) boleh laras di bahagian belakang.
Ciri spesifikasi lain termasuk ketinggian pelana 810 mm, tangki bahan api berkapasiti 15.5 liter, sistem Assist & Slipper Clutch serta Sistem Pengereman Anti-Kunci (ABS) dua saluran.
Dari segi berat, Hpnda CBR650R merekodkan berat 211 kg manakala Honda CB650R lebih ringan pada 207 kg.
Seperti biasa, setiap pembelian akan didatangkan dengan jaminan pengeluar selama 2 tahun atau 20,000 km (yang mana tiba dahulu) dan akan tiba cawangan pengedar rasmi Honda Big Wing di seluruh negara bermula 6 Julai 2026.

