BSH Umum Kehadiran Honda Vario 125 (2026) Di Malaysia, RM 7,268!

Pengenalan Honda Vario 125 (2026) mengikuti pelancaran varian Vario 125 Street (RM 7,468) pada April dan lebih menarik, sekali pun hadir dengan pelbagai pembaharuan, harga yang ditawarkan bagi versi 2026 ini kekal tidak berubah dengan model 2025

TERKINI

6/19/20261 min read

PENGEDAR eksklusif jenama motosikal Honda di Malaysia, Boon Siew Honda melengkapkan penawarannya dalam segmen 'Vario' di pasaran tempatan apabila mengumumkan kehadiran Honda Vario 125 (2026) yang tiba bersama harga jualan RM 7,268 (asas).

Seperti diketahui, pengenalan Honda Vario 125 (2026) mengikuti pelancaran varian Vario 125 Street (RM 7,468) pada April dan lebih menarik, sekali pun hadir dengan pelbagai pembaharuan, harga yang ditawarkan bagi versi 2026 ini kekal tidak berubah dengan model 2025.

Tiga pilihan warna baharu diperkenalkan iaitu Hijau, Magenta, dan Hitam Pusam yang dipadankan dengan padanan corak grafik yang dikatakan lebih menarik.

Seperti versi 'Street', Honda Vario 125 tampil lebih segar dan sporty menerusi kemasan panel badan serba baharu terutama fascia depan yang direka lebih tajam bagi menyerlahkan postur tunggangan yang dinamik dan agresif.

Selain itu, kemas kini yang dibuat termasuklah pengenalan sistem pencahayaan LED penuh dan port pengecasan USB-C.

Ulas spesifikasi mekanikal, Honda Vario 125 (2026) kekal dengan padanan enjin eSP bersesaran 124.9 cc, 1 Silinder, Penyejuk Cecair, Fi yang digandingkan dengan transmisi automatik CVT.

Kuasa dihamburkan pada angka 11.5 Hp pada 8,500 rpm dan tork 11.74 Nm pada 5,000 rpm.

Ciri-ciri menarik seperti Sistem Kunci Pintar (Smart Key) dengan teknologi penggera antikecurian dan keupayaan answer back, sistem henti-mula (idling start-stop) turut kekal.

Selain itu, ia turut menerima pengiktirafan Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) serta penarafan tiga bintang bagi Program Penilaian Motosikal Malaysia (MyMAP).

Aspek keselamatan dikendalikan oleh brek cakera hidraulik (depan) dan brek dram mekanikal (belakang) disokong dengan Sistem Brek Kombinasi (CBS) Honda menakala ciri brek parkir datang secara standard.

Tugas menyerap hentakan diserahkan kepada fork teleskopik konvensional (depan) penyerap hentak tunggal dengan ciri boleh laras (preload) belakang.

Perincian:

  • Set roda 90/80-14 (depan), 100/80-14 (belakang)

  • Panel meter digital LCD

  • Ruang simpanan bawah pelana 18 liter

  • Tinggi pelana 769 mm

  • Tangki bahan api 5.5 liter

  • Berat 112 kg

Honda Vario 125 (2026) akan berada di semua pengedar sah Boon Siew Honda dan cawangan Honda Impian X di seluruh negara bermula 22 Jun 2026.

Setiap pembelian didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km (yang mana tiba dahulu).