BSH Umum Kemas Kini Honda Vario 160 (2024), Harga Asas Kini RM 10,498!
TERKINI
7/19/20241 min read
SELEPAS Honda ADV 160 (2024), Boon Siew Honda (BSH) terus mengemaskini penawarannya di pasaran tempatan kali ini satu lagi skuternya popularnya, Honda Vario 160 (2024).
Dan seperti Honda ADV 160 (2024), kemas kini yang dibuat turut hanya membabitkan kosmetik iaitu pilihan warna baharu menerusi pengenalan warna Green dan Mat Blue.
Harga yang disyorkan oleh pengeluar adalah RM 10,498 (asas). Sebagai perbandingan, harga jualan bagi model 2023 adalah RM 10,298 dan ia adalah varian Premium model berkenaan.
Seperti biasa, harga yang diumumkan tidak termasuk yuran pendaftaran, cukai jalan dan insuran.
Selain pilihan warna serta corak grafik, tiada perubahan lain dilakukan untuk model yang mula mendarat di Malaysia pada penghujung 2022 ini bagi versi 2024.
Menjana skuter ini kekal enjin eSP+ bersesaran 157 cc, 1 Silinder, 4 Injap, Penyejuk Cecair, Suntikan Bahan Api, SOHC yang digandingkan dengan transmisi automatik CVT.
Kuasa yang dihamburkan adalah 15.3 Hp pada 8,500 rpm dan tork maksimum 13.8 Nm pada 7,000 rpm.
Suspensi yang menjana skuter ini adalah fork teleskopik konvensional (depan) dan penyerap hentak tunggal (belakang).
Sistem brek pula menggunakan cakera depan dan belakang lengkap dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) saluran tunggal. Set roda adalah 120/70-14 (depan) dan 100/80-14 (belakang).
Ciri-ciri premium dan menarik termasuklah Sistem Kunci Pintar yang memiliki penggera dan panggilan semula, port pengecas USB-A, ruang simpanan bawah pelana 18 liter, panel meter digital LCD, kapasiti tangki bahan api 5.5 liter, tinggi pelana 778 mm dan sistem lampu LED penuh.
Seperti biasa, BSH turut menawarkan jaminan iaitu selama 2 tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu).
Dan kepada yang berminat, anda perlu bersabar sedikit kerana Honda Vario 160 (2024) akan mula berada di cawangan pengedar Honda Impian X dan pengedar sah BSH bermula pada 27 Julai depan.