BUKAN 2, Tapi 3 Penjuru - Jorge Martin

Secara matematik, ada 8 pelumba masih berpeluang merebut kejuaraan MotoGP tetapi jaguh Aprilia Racing, Jorge Martin melihat hanya 3 pelumba teratas dalam carta kedudukan pelumba benar-benar pencabar realistik bagi merangkul mahkota kejuaraan tahun ini

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

10/21/20261 min read

JORGE Martin menyifatkan perebutan kejuaraan dunia MotoGP musim 2026 bukan hanya membabitkan 2 penjuru di antara dirinya dan Marc Marquez tetapi turut disertai rakan sepasukannya di Aprilia Racing, Marco Bezzecchi.

Meskipun secara matematik 8 pelumba masih berpeluang merebut kejuaraan, Martin melihat hanya 3 pelumba teratas dalam carta kedudukan pelumba benar-benar pencabar realistik bagi merangkul mahkota kejuaraan tahun ini.

Menjelang Grand Prix (GP) Australia di Phillip Island hujung minggu ini, pelumba kelahiran Sepanyol itu sedang mendahului kedudukan keseluruhan dengan kelebihan tipis 2 mata mengatasi juara bertahan dari pasukan Ducati, Marquez.

Begitupun, Bezzecchi berjaya mengutip mata lebih tinggi berbanding kedua-dua pelumba itu pada aksi di Mandalika baru-baru ini, merapatkan jurang kepada 46 mata di belakang pendahulu dengan baki 5 pusingan serta maksimum 185 mata untuk direbut.

"Selepas perlumbaan di Indonesia, ia kini lebih jelas berbanding sebelum ini kejuaraan ini akan diselesaikan secara sengit membabitkan tiga pelumba teratas," kata Martin.

Kata Martin, dengan jurang mata dalam kedudukan pelumba menjelang perlumbaan di Australia kini semakin rapat, ia menuntut pasukannya untuk terus bekerja keras dan mengekalkan kepercayaan terhadap usaha semua pihak di Aprilia.

Sama seperti Marquez, Martin terlepas aksi pusingan di Phillip Island pada tahun lalu akibat masalah kecederaan yang menimpanya.

Situasi itu bermakna, sama seperti di Mandalika, Martin tidak mempunyai pengalaman menunggang jentera Aprilia RS-GP di litar legenda Australia itu yang bakal menganjurkan perlumbaan MotoGP terakhirnya hujung minggu ini.

"Ini akan menjadi kali pertama saya menunggang Aprilia RS-GP di litar yang cukup istimewa seperti Phillip Island dan saya yakin pasukan akan melakukan tugas cemerlang bagi memberikan litar ini penghormatan terakhir yang sepatutnya," katanya.