BUKAN Aprilia, Fabio Quartararo Kekal Di Yamaha Hingga Musim 2026

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/5/20242 min read

FABIO Quartararo membuat keputusan untuk kekal bersama pengeluar Jepun, Yamaha di MotoGP selepas menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun sehingga 2026.

Perkembangan berkenaan jelas melegakan Yamaha selepas timbul khabar angin pelumba kelahiran Perancis yang juga juara dunia 2021 itu ingin mencari 'angin baharu' selepas kontraknya berakhir hujung musim ini.

Quartararo menyertai Yamaha pada 2019 bersama pasukan satelit, Petronas Yamaha SRT sebelum menyertai pasukan 'Factory' dan menjulang gelaran dunia MotoGP pada 2021.

Dan sekalipun masih mampu bersaing pada musim berikutnya, jentera Yamaha M1 tampak makin ketinggalan dengan kemenangan terakhir diraih pasukan itu adalah pada pertengahan 2022.

Situasi bertambah teruk pada musim lalu apabila pasukan itu gagal meraih sebarang kemenangan semusim, keputusan yang kali terakhir dicapai pada musim 2003.

Yamaha ketika ini sedang memanfaatkan peraturan teknikal konsesi MotoGP namun selepas dua pusingan berlangsung, keputusan terbaik dicapai pasukan itu adalah di kedudukan ke-7.

Begitupun, kesungguhan Yamaha untuk bangkit termasuk dengan menggaji bekas jurutera Ducati menjadi antara kunci Quarartaro kekal bersama pasukan itu.

"Saya amat gembira untuk mengumumkan yang saya akan meneruskan cabaran saya bersama Yamaha," kata Quartararo.

"Musim sejuk lalu Yamaha membuktikan kepada saya yang mereka sudah mempunyai pendekatan dan minda yang agresif. Keyakinan saya tinggi. Kami akan kembali ke barisan depan bersama-sama.

"Enam tahun lalu, mereka memberi saya peluang untuk melangkah ke MotoGP, dan sejak itu kami mencapai banyak perkara hebat bersama.

"Perjalanan kami masih panjang untuk kami bersaing merebut kemenangan sekali lagi. Saya akan bekerja keras, dan saya yakin, bersama-sama, kami akan mencapai lagi impian kami," katanya.

Pengarah Urusan Yamaha Racing, Lin Jarvis berkata berjaya mengekalkan Quartararo adalah satu kejayaan buat pasukan itu.

"Mengekalkan Fabio bersama pasukan 'Factory' adalah penting untuk projek MotoGP Yamaha," kata Jarvis. "Fabio adalah bakat yang mengujakan, seorang yang bekerja keras, mempunyai semangat pasukan yang baik, dan masih mempunyai banyak tahun untuk menjadi kompetitif.

"Yamaha Motor Company, Yamaha Motor Racing, dan Monster Energy Yamaha MotoGP Team akan berusaha bersunguh-sungguh bersama Fabio dengan mengambil 'pendekatan agresif' terhadap pembangunan jentera.

"Kami sudah melakukan beberapa perubahan yang besar terhadap organisasi kami termasuk sistem pengurusan dalaman baharu, menggaji pakar-pakar dalam industri, rakan kongsi teknikal luaran, meningkatkan bajet pembangunan, dan meningkatkan program ujian.

"Kesemua perubahan itu direka untuk mempercepatkan proses untuk kami kembali ke landasan kemenangan," katanya.

Quartararo menjadi pelumba keenam yang secara rasmi mengesahkan tempat di grid MotoGP pada 2025. Selain mengekalkan Quartararo, Yamaha turut mencari pasukan satelit pada musim depan.