BUKAN Biasa-Biasa, Skuter Elektrik 'Jiran', Scorpio X1 Dijadual Buat Penampilan Di EICMA 2023

7/26/20231 min read

SKUTER elektrik buatan negara jiran, Singapura, Scorpio X1 dikatakan sudah memasuki fasa produksi dan penampilan sulung awam pertamanya bakal berlangsung di acara terkemuka, EICMA 2023 di Itali.

Ketika majlis pengenalan rasminya kepada media pada tahun 2021 lalu, yang turut dihadiri media automotif dari Malaysia, tempahan untuk Scorpio X1 adalah USD 9,800 (RM 40,700).

Menurut laporan Paultan, pembuatan dan pemasangan Scorpio X1 dijalankan dengan kerjasama syarikat China, Shenzhen BYD Electronics yang berpangkalan di Guangzhou, China.

Di bahagian trenkuasa, Scorpio X1 dipacu motor elektrik berkuasa 10 kW yang dijana daripada bateri lithium-ion berkapasiti 4.8 kWh, 72-Volt, 73 Ah. Skuter elektrik ini didakwa boleh mengharungi jarak perjalanan sejauh 200 km dengan kelajuan maksimum 105 km/h.

Dari sudut pengecasan, ia memerlukan 2.5 jam tempoh cas untuk bateri mencapai tahap 90 peratus daripada kosong.

Sebagai skuter 'masa depan', Scorpio X1 turut dilengkapi tiga mod kuasa - Eco, Urban, Sport - dan turut memiliki ciri menarik bantuan mengundur. Bahagian panel meter menggunakan panel TFT berwarna yang lengkap dengan pelbagai informasi serta sambungan ke telefon pintar.

Di bahagian suspensi, skuter yang mempunyai rekaan moden yang futuristik ini dipadankan dengan fork jenis terbalik (USD) depan dan penyerap hentak tunggal (belakang). Sistem henti menggunakan brek cakera tunggal (depan dan belakang).

Ciri-ciri menarik termasuklah penggunaan sistem lampu LED penuh dan visor penghadang angin.