BUKAN Bulan Ni, Tapi Pelancaran Ninja ZX-25R (Kawasaki/Modenas) pada September?

TULAR

7/14/20231 min read

KAWASAKI Ninja ZX-25R sudah beberapa kali ditayangkan secara umum sebagai 'halwa mata' peminat tempatan, malah bunyinya juga sudah dapat didengar tetapi sehingga kini, kehadiran rasmi model hangat itu di pasaran tempatan terus kekal misteri.

Ketika ramai penganalisa atau media tempatan menjangkakan ia akan dilancarkan dalam tempoh terdekat, berkemungkinan pada bulan ini (Julai), timbul satu perkembangan kurang enak apabila tempoh menunggu itu mungkin akan dilanjutkan.

Berkemungkinan besar (atau memang) akan dikenali sebagai Modenas Ninja ZX-25R, menerusi perkembangan terbaharu, model 'Sportbike' 4 'dapur' premium itu dijangka akan menemui peminatnya pada September tahun ini.

Ia sekaligus memanjangkan penantian peminat tempatan yang sudah beberapa tahun terpaksa 'bersabar'.

Sejak pelancaran globalnya di Indonesia beberapa tahun lalu, Kawasaki Ninja ZX-25R sememangnya sebuah model yang dinanti-nantikan di pasaran tempatan dan penantian itu nampak nampak memendek selepas kemelut membabitkan Kawasaki di pasaran Malaysia selesai.

Dan kepada yang tak tahu, di bawah perjanjian baharu, Edaran Modenas Sdn Bhd (Emos) akan memegang tanggungjawab memasarkan model Kawasaki di pasaran tempatan selain model-model Kawasaki (bawah 650 cc) akan dijenamakan sebagai Modenas.

Turut mengujakan adalah beberapa model Kawasaki akan dipasang di kilang pemasangan Modenas di Gurun, Kedah yang menyaksikan penawaran harganya akan bertambah 'marhaen'.

Sebagai info, Emos sudah beberapa kali menayangkan Ninja ZX-25R dengan lencana Kawasaki kepada orang ramai antaranya ketika di GP Malaysia 2022 dan di Malaysia Autoshow 2023.

Dari sudut harga pula, perkembangan sedikit menggundahkan turut diperoleh apabila ia dikatakan akan dijual pada harga melebihi RM 30k hingga RM 40k.

Anda pening? Ya, kami juga sama. Jadi sama-samalah kita tunggu dengan penuh rasa sabar.