BUKAN 'Ducati Cup', Tapi...
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
2/25/20252 min read


PELUMBA ROKiT BMW Motorrad, Toprak Razgatlioglu melabel pusingan WorldSBK 2025 di Australia, minggu lalu sebagai 'Ducati Cup' atau Piala Ducati tetapi ia dinafikan barisan pelumba jenama Itali itu.
Selain kemenangan hatrik yang diraih pelumba Aruba.it Racing - Ducati, Nicolo Bulega, Ducati menyapu bersih kedua-dua posisi podium Perlumbaan Superpole dan Perlumbaan 2 di Phillip Island.
Pada Perlumbaan 1 yang berlangsung pada Sabtu, Ducati turut mengisi kedudukan tempat ketiga dengan Razgatlioglu merangkul tempat kedua sebelum dipalit kekecewaan pada Ahad.
Ducati pada Perlumbaan 1 turut mempunyai 5 wakil dalam kedudukan 6 terbaik sebelum memiliki 5 pelumbanya mengisi kedudukan 5 terbaik Perlumbaan Superpole dan mendominasi 6 kedudukan terakhir Perlumbaan 2.
Kecewa dengan situasi itu, Razgatlioglu turut 'mengancam' untuk meninggalkan kejuaraan itu jika ia berterusan dengan Ducati menyenaraikan lapan pelumba pada musim ini.
Berikut adalah 'balasan' pelumba-pelumba Ducati mengenai dakwaan Razgatlioglu.
Nicolo Bulega
"Saya fikir, jika kamu melihat juga perlumbaan sebelum ini, Ducati sentiasa amat baik di litar ini, dan saya tidak tahu mengapa.
"Saya juga, kerana saya sentiasa laju di sini, kerana ia adalah litar kegemaran saya. Jadi minggu ini, saya dan Ducati adalah kombinasi yang baik di litar ini. Sejujurnya, saya tidak fikir kami boleh kuat di semua litar, kerana ia hampir mustahil. Tetapi sudah tentu, kami akan bekerja keras untuk kekal kompetitif."
ALVARO Bautista
"Terlalu awal untuk bercakap mengenai kejuaraan, terutama kerana litar ini sedikit istimewa, ia amat berbeza dengan litar lain. Juga kami mengharungi ujian pada awal minggu, jadi ia bukan litar yang (normal) terutama kerana Nicolo amat laju di sini.
"Dia akan laju di mana-mana, tetapi saya fikir Toprak bergelut di litar ini, tetapi pada pusingan seterusnya di Portimao di kuat. Jadi saya tidak tahun sama ada ini adalah realiti kejuaraan ini, kami perlu menunggu beberapa lagi perlumbaan untuk melihat di mana keadaan semua pelumba dan prestasi mereka."
ANDREA Iannone
"Saya fikir Phillip Island adalah litar yang baik untuk kami. Ducati sudah tentu memiliki jentera yang baik, tetapi saya juga berfikir pelumba-pelumba Ducati berada di tahap yang amat baik kerana semua orang sebelum ini berada di posisi teratas, juga di MotoGP.
"Saya fikir ia bukan sudut pandang, tetapi inilah realitinya. Saya fikir pakej yang ada bagus, tetapi saya fikir setiap perlumbaan tidak akan berlaku seperti ini."
DANILO Petrucci
"Sudah tentu Phillip Island istimewa, di sini Ducati memperoleh keputusan yang baik, tetapi saya mahu melihat prestasi seperti ini sepanjang minggu.
"Mungkin untuk memperbaiki keputusan saya, berada di podium dan mungkin merangkul kemenangan tidak lama lagi."
SCOTT Redding
"Saya fikir litar ini sedikit istimewa, juga kerana sifat litar ini yang serasi dengan lebih baik dengan Ducati, dan keadaan suhu turut memainkan peranan dan angin serta peraturan 'flag to flag', ada banyak perkara yang memainkan peranan.
"Syaa fikir apabila kami kembali ke Eropah ia akan berubah sedikit, saya fikir kita akan lihat kebangkitan daripada Bimota, lebih daripada Yamaha. Jadi akan ada perlumbaan mengujakan pada masa depan."
