BUKAN Ducati Lenovo, Tapi Ducati Desmosedici GP26
Alex Marquez ketika ini mengharungi musim terbaiknya di MotoGP apabila menjadi pencabar utama kepada pendahulu kejuaraan musim 2025 yang juga abangnya, Marc Marquez dari pasukan Ducati Lenovo
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
9/10/20251 min read


ALEX Marquez mendedahkan komitmennya pada musim depan adalah kekal bersama pasukan Gresini Ducati dan tidak berminat untuk menyertai pasukan 'kilang' Ducati Lenovo.
Pelumba kelahiran Sepanyol itu ketika ini mengharungi musim terbaiknya di MotoGP apabila menjadi pencabar utama kepada pendahulu kejuaraan MotoGP 2025, Marc Marquez yang juga abangnya.
Dan menariknya, dia tidak dibekalkan dengan jentera spesifikasi terkini di Gresini Ducati GP25 seperti Marc di Ducati Lenovo tetapi menggunakan Ducati GP24.
Justeru, sekalipun tidak berminat dengan pasukan rasmi, keutamannya pada tahun depan adalah untuk mendapatkan jentera spesifikasi 'kilang'
Tetapi untuk merealisasikan harapan itu, pemilik Gresini Racing, Nadia Padovani perlu mempertimbangkan kos tambahan untuk mendapatkan GP26 berbanding GP25.
Dan apa yang dilakukan oleh Alex ketika ini adalah seperti mendesak agar pasukan itu membuat pelaburan lebih besar untuk memberikan saingan.
"Setakat ini kami belum menerima apa-apa daripada Borgo Panigale, tetapi jika pasukan berpeluang untuk mendapatkan jentera rasmi, saya akan dorong ke arah itu untuk manfaat bersama. Tetapi setakat ini tiada apa yang konkrit diputuskan," kata Alex kepada Marca.
"Saya mahu berpeluang untuk bersaing pada tahap yang sama dan mempunyai sesuatu untuk dicuba ketika latihan untuk membantu Ducati. Dari sudut kontrak, saya tidak berminat untuk menandatangani kontrak dengan pasukan utama. Syaa sudah mempunyai kontrak sedia ada dengan Gresini," katanya.
Prestasi longlai yang ditampilkan oleh rakan sepasukan Marc, Pecco Bagnaia membuatkan timbul 'cakap-cakap' mengenai kemungkinan perubahan di pasukan 'kilang' Ducati lenovo.
