BUKAN Ducati, Yamaha, Tapi Suzuki Pilihan No.1 VR46

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

3/3/20241 min read

DUCATI dan Yamaha bukan pilihan utama pasukan VR46 milik legenda Itali, Valentino Rossi dalam penyertaan pertama di MotoGP namun menariknya, pengeluar yang sudah pun menarik diri, Suzuki.

Pendedahan menarik itu dikongsikan sendiri oleh 'orang kanan' Rossi, Uccio Salucci dalam satu temuramah bersama Sky tatkala VR46 memasuki tahun terakhirnya sebagai pasukan satelit Ducati di MotoGP.

VR46 membuat penampilan sulungnya di MotoGP pada musim 2022 bersama Ducati dan meraih kejayaan mengagumkan pada tahun lalu menerusi Marco Bezzecchi dan Luca Marini.

"Pada permulaannya Vale memberitahu saya yang MotoGP akan memberikan kesukaran," kata Salucci.

"Ia bukanlah Moto2 di mana kami berjaya memperoleh banyak kejayaan. Pada tahun 2020 baru saya memberitahunya mungkin saya merasa lebih baik bersama MotoGP.

"Ia agak pelik kerana sebenarnya Moto2 adalah sesuatu yang baru buat saya sedangkan saya sudah berada di MotoGP selama beberapa tahun bersama Vale dan sentiasa berada dalam pasukan utama.

"Jadi kami membuat keputusan. Vale memberikan saya projek dan di sini kami berada.

"Pada awalnya saya mahu bekerjasama dengan Suzuki, tetapi kemudian Suzuki tidak menghasilkan jentera dan menarik diri. Yamaha bersama Petronas dan kami tidak mahu mengganggu orang lain," katanya.

Mengulas lanjut, Salucci turut mendedahkan pihaknya bimbang kerjasama dengan Ducati berikutan pengalaman 'buruk' yang diperoleh Rossi bersama pengeluar itu pada musim 2011 dan 2012.

"Pada pertemuan pertama dengan Paolo Ciabatti dan Gigi Dall'Igna, rasanya sedikit aneh untuk saya bercakap mengenai jentera kami," kata Salucci.

"Tetapi saya dengan pantas dapat melihat keinginan di mata mereka. Saya sebenarnya bimbang dengan legasi yang kami tinggalkan di Ducati. Sebaliknya saya dapat melihat mereka mahu menerima kami dengan tangan terbuka dan membantu kami berkembang. Jadi saya amat gembira.

"Saya tidak fikir yang saya boleh mendapat hubungan dengan mereka seperti ini. Ia satu kejutan yang positif dari Ducati," katanya.

VR46 pada musim ini akan menggunakan jentera spesifikasi 2023 Ducati dan dipacu pemenang tempat ketiga MotoGP musim lalu, Marco Bezzecchi dan Fabio di Giannantonio yang menggantikan Marini.

Kontrak VR46 bersama Ducati dijadual berakhir pada musim ini tetapi pasukan itu mendedahkan sudah berbincang dengan KTM dan Yamaha, pengeluar yang masih menyenaraikan bintang itu sebagai dutanya.