BUKAN Hanya Saya Dan Pecco Bagnaia - Marc Marquez
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
12/13/20241 min read


ADA pendapat yang menyatakan pemburuan kejuaraan dunia MotoGP 2025 hanya akan membabitkan dua pelumba Ducati Lenovo - Marc Marquez dan Francesco Bagnaia.
Begitupun menurut juara dunia lapan kali, Marquez, pandangan itu tidak tepat dan menegaskan ada ramai lagi pelumba yang bakal terbabit dalam pemburuan kejuaraan musim depan.
Ducati dijangka akan terus mendominasi MotoGP selepas mengharungi kempen mengujakan pada 2024 yang menyaksikan pengeluar Itali itu menang 19 daripada 20 perlumbaan Grand Prix yang ditawarkan.
Dengan 19 kemenangan itu dikongsi empat pelumba, perpindahan Jorge Martin dan Enea Bastianini musim depan menyaksikan hanya Bagnaia dan Marquez kekal dalam senarai itu.
Dan situasi itu membawa kepada spekulasi yang kedua-duanya akan bersaing sesama sendiri bagi pemburuan kejuaraan musim depan tetapi bagi Marquez, situasi itu tidak akan berlaku.
"Ia tidak akan menjadi kejuaraan yang membabitkan Pecco dan saya," kata Marquez memetik laporan Motorsports.
"Bukan hanya Ducati yang berlumba, tetapi kita juga perlu melihat evolusi jenama lain, ada juga Jorge Martin dengan Aprilia yang menjuarai perlumbaan, dan Pedro Acosta dengan KTM yang amat hampir.
"Kami akan cuba memberikan 100 peratus, tetapi saya sedar yang ia akan menjadi amat sukar, dan segala-galanya perlu menjadi sempurna untuk menjuarai kejuaraan."
Marquez meninggalkan Repsol Honda pada penghujung musim 2023 untuk menyertai pasukan satelit Ducati, Gresini Racing pada 2024 dan juara dunia lapan kali itu tidak memerlukan masa lama untuk memikat Ducati Corse mendapatkan khidmatnya di Ducati Lenovo.
Malah pengeluar Itali itu sangguh untuk melepaskan Martin untuk mendapatkan Marquez sebelum pelumba Sepanyol itu menjulang gelaran dunia pada musim ini.
