BUKAN Honda Saja Minat Toprak Razgatlioglu - Kenan Sofuoglu
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
4/15/20251 min read


PENGURUS pelumba bintang Turki, Toprak Razgatlioglu yang juga juara dunia WorldSSP lima kali, Kenan Sofuoglu mendedahkan perbincangan untuk membawa pelumba WorldSBK itu ke MotoGP masih berjalan.
Apa yang menarik, Sofuoglu berkata perbincangan bukan saja membabitkan dengan pengeluar Jepun, Honda, tetapi beberapa lagi pengeluar.
Kontrak juara dunia dua kali WorldSBK, Razgatlioglu bersama BMW Motorrad akan berakhir pada penghujung musim ini yang menyaksikannya dikaitkan dengan pelbagai pengeluar dengan pakej berbeza.
"Sudah tentu Toprak (Razgatlioglu) memperoleh musim yang hebat bersama BMW pada tahun lalu dan pada tahun ini perjalanannya masih baik," kata Sofuoglu.
"Saya mahu dia fokus terhadap kejuaraan kerana tahun pertama amat sukar untuk kami, saya mahu Toprak menunjukkan prestasinya yang sebenar seperti dia lakukan pada tahun lalu."
Bercakap mengenai masa depan Toprak, Sofuoglu berkata peminat perlu menjangkakannya akan berlumba di MotoGP.
"Dia mendapat tawaran daripada pasukan-pasukan di MotoGP dengan jenama yang baik. Pada minggu ini, saya mempunyai satu mesyuarat mengenai perkara ini atau perkara yang sudah saya lakukan.
"Saya memberitahu syarikat itu, 'Pertama, saya mendengar permintaan Toprak, dan saya menawarkannya sesuatu, adakah kamu mempunyai minat dengan perkara ini jika saya boleh membawanya kepada kamu?"
Sofuoglu berkata, Toprak amat teruja dengan perkembangan itu.
"Dia menggemarinya dan berkata, 'tolong berikan saya ini'. Saya mengadakan mesyuarat dengan syarikat itu, saya merasakan yang mereka berminat dengan projek ini. Kami memerlukan masa untuk menelitinya."
Honda ketika ini kuat dikaitkan dengan Toprak dengan pakej yang ditawarkan adalah untuk berlumba selama setahun di WorldSBK bersama pasukan HRC sebelum berlumba di MotoGP pada 2027 apabila perubahan peraturan kejuaraan itu berubah.
"Saya mempunyai sesuatu yang bukan saja Honda, ia jenama lain yang amat berminat untuk mendapatkan Toprak di MotoGP," kata Sofuoglu. "Saya tidak boleh memberi (penjelasan) lebih kerana ia tidak adil untuk kami, kepada syarikat, atau jenama kami yang berlumba ketika ini. Kami gembira dengan mereka."
Selain Honda, pasukan lain yang dikatakan berminat adalah Yamaha.
