BUKAN Idea Ducati Corse Pikat Marc Marquez, Tapi Gresini - Gigi Dall’Igna
SUKAN PERMOTORAN 2 RODA
10/9/20231 min read
MARC Marquez rasmi meninggalkan Honda sejurus kempen MotoGP musim ini berakhir namun disebalik pelbagai spekulasi, destinasi berikutnya juara dunia lapan kali itu masih menjadi teka teki.
Sekalipun belum ada pengesahan, pelumba kelahiran Sepanyol itu dijadualkan menyertai Ducati menerusi pasukan satelit, Gresini Racing.
Ia turut dikuatkan dengan pendedahan bos besar Ducati Corse, Gigi Dall’Igna yang jelas tidak mahu berselindung mengenai perkara berkenaan.
Ketika ditanya idea siapa yang 'memancing' Marquez ke Ducati, Dall’Igna menjelaskan perkara berkenaan bukan 'datang' daripadanya (Ducati) namun pasukan (Gresini) malah menyatakan sesi negosiasi juga tak memakan masa lama.
“Tidak lama," kata Pengurus Besar Ducati Corse itu ketika ditanya mengenai perkara berkenaan.
"Tetapi saya mahu menegaskan suatu perkara. Ia bukanlah idea saya. Ia adalah pasukan (Gresini) yang memutuskan untuk menjalankan perjanjian dengan pelumba.
"Tetapi jelas yang saya gembira melihat pelumba yang menunggang jentera saya adalah seorang yang pantas," katanya.
Antara perincian lain yang didedahkan oleh Dall’Igna adalah Marquez akan tiba ke Gresini seorang diri tanpa Katua Krewnya selain tempoh kontrak yang ditandatangani pelumba itu.
"Saya percaya ya (kontrak selama setahun)," kata Dall’Igna. "Tetapi ia adalah kontrak dia dan Gresini. Saya percaya yang dia akan datang berseorangan," kata Dall’Igna yang tidak menggunakan khidmat ketua krew Santi Hernandez.
"Operasi semuanya dijalankan oleh Gresini, mereka yang melakukannya dan bukannya Ducati."
Keputusan meninggalkan Honda sebelum kontrak berakhir turut menyaksikan Marquez kehilangan pendapatan yang cukup besar selain menggunakan jentera setahun lebih 'tua'.