BUKAN Kemenangan Mudah - Toprak Razgatlioglu

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/11/20241 min read

TOPRAK Razgatlioglu mengakui dia dipaksa untuk bekerja keras sebelum meraih kemenangan pada Perlumbaan 1 WorldSBK pada Pusingan 7 WSBK 2024 di Portimao, Portugal - kemenangan ke-11 berturut-turutnya musim ini.

Sekalipun memulakan perlumbaan di petak utama, pelumba kelahiran Turki itu berjaya dipintas beberapa pelumba di awal perlumbaan antaranya Alex Lowes dan Danilo Petrucci.

Selepas Lowes dipintas Petrucci, pelumba pasukan ROKiT BMW Motorrad itu kemudian terpaksa mengekori Petrucci dalam tempoh agak lama sebelum berjaya melakukannya pada beberapa pusingan terakhir.

Dan selepas Petrucci tampak seperti mula mengendurkan tekanan kepada Razgatlioglu, penyandang juara dunia Alvaro Bautista mengambil alih tugas berkenaan sehingga garisan penamat namun terpaksa berpuas hati di tempat kedua.

"Saya amat gembira," kata Razgatlioglu memetik laporan WorldSBK.com yang kemenangannya di Portimao menyaksikannya menyamai rekod kemenangan berturut-turut dipegang beberapa pelumba termasuk Bautista.

"Pada permulaan perlumbaan saya bersaing dengan (Danilo) Petrucci tetapi selepas ini, pada pusingan ke-8 atau ke-9 saya hanya cuba untuk memberikan yang terbaik saya boleh lakukan.

"Saya cuba untuk mendapatkan masa sepusingan terbaik pada setiap pusingan. Tetapi kamu tahu, kami menang sekali lagi dan saya amat gembira mengenainya.

"Ia bukan minggu yang mudah kerana semua orang berusaha dengan amat keras, dan ia juga disebabkan keadaan yang amat panas."

Mengenai peluangnya untuk mencatatkan rekod baharu dengan meraih kemenangan ke-12, Razgatlioglu tampak tidak mahu meletakkan tekanan berlebihan kepada dirinya.

"Kami melakukan kerja yang amat bagus dan saya memerlukan satu lagi kemenangan untuk mencatat rekod baharu.

"Kita akan lihat apa yang boleh kita lakukan," katanya.