BUKAN Kemenangan Yang Mudah - Helmi Azman

Beraksi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Helmi Azman yang beraksi bersama pasukan IDEMITSU Honda Racing Malaysia menjelaskan kejayaan itu tidak datang bergolek malah dia yang bermula jauh di petak keenam terpaksa memerah segala keringat untuk bangkit

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

4/11/20261 min read

PELUMBA pasukan IDEMITSU Honda Racing Malaysia, Helmi Azman mengakui kemenangan yang diperolehnya pada Perlumbaan 1 kelas SuperSports 600cc (SS600) di Pusingan 1 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2026, hari ini hadir dengan rintangan yang cukup sukar.

Beraksi di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), kejayaan pelumba kelahiran Kajang, Selangor itu nyata tidak datang bergolek. Bermula jauh di petak keenam, dia terpaksa memerah segala keringat untuk bangkit sebelum mengesahkan kemenangan penuh bermakna di hadapan penyokong sendiri.

Di sebalik kejayaan itu, Helmi mendedahkan dia sebenarnya berdepan 'mimpi ngeri' bermula dari sesi ujian hinggalah ke sesi kelayakan susulan masalah teknikal jentera dan insiden kemalangan.

"Sejak hari ujian, saya banyak bergelut dengan jentera kerana tahun ini kami menggunakan Unit Kawalan Enjin (ECU) baharu. Jadi, kami terpaksa bermula dari sifar dan tidak boleh bergantung kepada data tahun lalu.

"Malah ketika kelayakan, jentera kehilangan kuasa berikutan isu pada ECU. Lebih malang, saya juga terjatuh pagi tadi pada awal sesi kelayakan yang sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan saya. Tetapi, saya sentiasa ingatkan diri supaya kekal fokus dan tenang.

"Untuk perlumbaan, kami bekerja keras untuk memperbaikinya dan Alhamdulillah, kami berjaya menyelesaikan masalah tersebut," katanya.

Helmi menyifatkan kebangkitan luar biasa yang dipamerkannya itu sebagai satu kepuasan peribadi, lebih-lebih lagi dapat melakar kejayaan di laman sendiri.

"Pada akhirnya, saya berjaya meraih keputusan ini dan ia sangat bermakna kerana ini sememangnya impian saya apabila beraksi di sini," katanya.

Dalam pada itu, perlumbaan yang disulami emosi itu turut menyaksikan Helmi mendedikasikan kejayaan manis tersebut kepada tulang belakang pasukannya.

"Saya mahu berterima kasih kepada pasukan atas kerja keras mereka. Saya juga memohon semua pihak mendoakan ketua mekanik saya, Fahmi.

"Dia tidak dapat berada di sini, saya merinduinya dan berharap dia segera sembuh untuk kembali bersama pasukan pada pusingan seterusnya," kata Helmi.