BUKAN 'Magis', Tapi Pengorbanan, Hafizh Syahrin Sedia 'Jinakkan' Mandalika

Tiba di Mandalika selaku penyandang juara, Hafizh Syahrin yang juga bekas pelumba MotoGP negara kini gah menerajui kelas elit ASB1000 selepas melakar dominasi mutlak - menyapu bersih enam kemenangan daripada keseluruhan enam perlumbaan pada separuh masa pertama musim ini

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

8/6/20261 min read

PELUMBA sensasi JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah enggan mendabik dada dengan rekod cemerlangnya, sebaliknya kekal berwaspada menjelang saingan Pusingan 4 Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2026 di Litar Mandalika, Indonesia, hujung minggu ini.

Tampil selaku penyandang juara, bekas pelumba MotoGP negara itu kini gah menerajui kelas elit ASB1000 selepas melakar dominasi mutlak - menyapu bersih enam kemenangan daripada keseluruhan enam perlumbaan pada separuh masa pertama musim ini.

Meskipun pencapaian luar biasa itu kelihatan seperti 'magis' di mata peminat, Hafizh menegaskan kejayaan demi kejayaan yang diraihnya menuntut keringat, air mata dan pengorbanan yang bukan sedikit di belakang tabir.

"Pertama sekali, pendekatan kami adalah fokus dari satu perlumbaan ke satu perlumbaan. Kami sudah mengharungi separuh masa pertama musim ini dengan cemerlang dan melakar rekod baharu.

"Dari luar, orang mungkin melihat kami sentiasa menang dan ia nampak mudah. Namun realitinya dari sudut pandang kami di dalam pasukan, ia sangat berbeza.

"Untuk bertahan pada tahap ini, kami perlu berikan usaha lebih daripada 100 peratus. Ia menuntut fokus yang tinggi, mengorbankan masa untuk latihan dan pelbagai lagi komitmen. Kami berjaya melepasi paruh pertama musim dengan baik dan saya amat gembira dengan rentak masa kini. Sudah tentu, saya akan terus berlatih keras untuk baki saingan musim," katanya.

Beralih kepada cabaran di Lombok hujung minggu ini, pelumba berusia 30 tahun itu sedar Litar Mandalika bakal menyajikan ujian fizikal dan taktikal yang berbeza, terutama melibatkan faktor persekitaran.

"Kami tahu Mandalika adalah litar yang sangat istimewa dan amat menuntut kekuatan. Agak sukar untuk memahami keadaan litar di sana, terutamanya kerana faktor angin memandangkan ia terletak berhampiran pantai. Jadi, kami perlu menilai keadaan dari satu sesi ke satu sesi.

"Walau apa pun cabarannya, saya mahu berikan aksi yang terbaik dan mengulangi pencapaian cemerlang perlumbaan sebelum ini. Saya enggan memikirkan tentang perlumbaan tahun lalu, fokus saya kini hanya bersedia sepenuhnya untuk hujung minggu ini," katanya.

Pada musim lalu, selepas menjuarai Perlumbaan 1, Hafizh Syahrin terpaksa menamatkan Perlumbaan 2 dengan status DNF susulan kemalangan.