'BUKAN Marc Marquez, Tapi Pecco Bagnaia'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

1/14/20251 min read

JORGE Martin sudah pun mengibarkan bendera putih dengan menyingkirkan dirinya sebagai antara calon untuk menjulang gelaran dunia MotoGP musim 2025.

Selepas menjulang gelaran dunia bersama Pramac Ducati tahun lalu, Martin secara rasmi menyertai satu lagi pengeluar Itali, Aprilia dan perubahan itu menjadi antara sebab dia merasakan tidak realistik untuk gelaran itu kekal.

Tetapi pilihan utamanya untuk menjulang gelaran utama itu bukanlah pelumba yang 'merampas' tempatnya di Ducati Lenovo, Marc Marquez, sebaliknya adalah pelumba yang ditewaskan musim lalu, Francesco Bagnaia.

"Ketika ini saya lihat Pecco sebagai pilihan dengan Marc amat hampir," kata Martin kepada AS.

"Tetapi siapa tahu. Saya meletakkan diri saya di kedudukan tiga terbaik untuk bersaing bersama mereka dalam beberapa perlumbaan, dan beberapa lagi perlumbaan lain saya akan lebih bergelut.

"Tetapi apa yang penting adalah untuk meningkat dan mengambil langkah ke depan."

Seperti diketahui, Martin menjuarai gelaran 2024 bukan bersama pasukan rasmi Ducati tetapi bersama pasukan satelit Pramac Racing dengan jentera spesifikasi terkini.

Begitupun, ini bukan kali pertama Martin dinafikan tempat di pasukan utama Ducati Lenovo.

Dan keputusan itu menyaksikannya menyertai Aprilia yang turut bermakna dia perlu menyesuaikan diri dengan pakej baharu yang menambah kesukarannya untuk mempertahankan kejuaraan dunia miliknya.