BUKAN Marquez, Martin, Tapi Enea Bastianini - Pecco

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

5/28/20241 min read

JUARA Dunia MotoGP dua kali, Francesco Bagnaia akhirnya bersuara mengenai rakan sepasukan yang menjadi pilihannya di Ducati Lenovo bagi kempen 2025.

Ducati Lenovo ketika ini sedang 'pening kepala' untuk memilih rakan sepasukan Bagnaia yang sudah pun mengesahkan kontraknya bersama Ducati Corse sehingga musim 2026 pada musim depan.

Tiga nama dikaitkan dengan kerusi panas itu iaitu Jorge Martin dari Pramac Ducati, Marc Marquez (Gresini Ducati) dan pelumba sedia ada Ducati Lenovo, Enea Bastianini.

Dan ketika ditanya ketika GP Catalan 2024 minggu lalu oleh Canal+ mengenai pilihan Bagnaia di antara Jorge, Marc dan Enea, jawapan yang diberikan pelumba Itali itu adalah rakan sepasukannya ketika ini.

"Enea. Pilihan saya adalah Enea," kata Bagnaia.

"Saya fikir kami melakukan kerja yang bagus bersama-sama. Jadi, bagus untuk terus seperti ini. Tetapi kita akan lihat bagaimana."

Ini Bastianini, ini adalah musim kedua dia bergandingan bersama Bagnaia di Ducati Lenovo.

Pada musim 2022, Bagnaia dan Bastianini yang berlumba bersama pasukan satelit Gresini Ducati bersaing sengit bagi memburu kejuaraan dunia pertama buat Ducati dalam tempoh 15 tahun yang akhirnya dimenangi Bagnaia.

Sekalipun tewas, Bastianini diberikan tempat untuk menyarung sut lumba ikonik berwarna merah.

Begitupun musim pertamanya sebagai pelumba pasukan rasmi Ducati pada musim 2023 dihantui dengan kecederaan yang diperoleh seawal pusingan pertama di Portugal dan sekalipun berjaya bangkit termasuk menang di GP Malaysia, prestasi yang ditampilkan oleh Martin jelas sukar dicabar.

Dan ia tugasnya untuk mengekalkan tempat di Ducati Lenovo bertambah sukar dengan kehadiran pelumba berprofil tinggi Marquez.