'BUKAN Masalah Jentera, Tapi...'

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

7/1/20241 min read

PELUMBA negara, Hakim Danish Ramli sekali lagi berdepan tempoh sukar dalam aksi Red Bull MotoGP Rookies Cup (RBMRC) 2024 selepas menamatkan kedua-dua perlumbaan Pusingan 4 di Assen di tangga ke-10.

Tiba di Assen dengan motivasi tinggi selepas mengharungi kempen JrGP pada minggu sebelumnya, pelumba kelahiran Terengganu itu berdepan 'kesulitan' ketika sesi kelayakan yang memaksanya memulakan perlumbaan di petak ke-10.

Dan ternyata memulakan perlumbaan di barisan keempat bukan sesuatu yang ideal terutama andai tidak berjaya meletakkan diri dalam kelompok utama, situasi yang terjadi kepada Hakim Danish pada Perlumbaan 2.

"Saya agak bergelut, kelompok depan agak laju, saya cuba pintas satu demi satu tetapi ada seorang pelumba buat kesilapan yang membuatkan kami terpisah dengan kelompok depan," kata Hakim Danish.

"Saya cuba untuk kejar tetapi saya bergelut untuk ikut. Tetapi saya dapat menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-10. Tetapi secara keseluruhan ada peningkatan untuk aksi kali ini," katanya.

Ketika ramai peminat terus mengharapkan Hakim Danish sekali lagi menaiki podium dan tampak tidak berpuas hati dengan kemampuan jentera yang dibekalkan RBMRC kepada Hakim Danish, tetapi bagi pelumba berusia 17 tahun itu, kemerosotan prestasinya bukan disebabkan oleh jentera.

Ia disuarakan sendiri pelumba muda berkenaan dalam satu majlis, baru-baru ini dengan menegaskan antara punca utama adalah membabitkan berat badannya.

Mengulas lanjut, sekalipun menjelaskan berat badannya masih mengikuti peraturan yang ditetapkan oleh penganjur, Hakim Danish berkata ia tidak cukup ideal jika dibandingkan dengan pelumba di barisan hadapan.

Dan katanya, ia berlaku dalam kedua-dua perlumbaan yang disertainya musim ini iaitu RBMRC dan Kejuaraan Dunia FIM JuniorGP (JrGP).

Justeru fokusnya ketika ini adalah cuba untuk mendapatkan berat badan yang ideal untuk membenarkannya memberi saingan terutama untuk beraksi di kelompok depan sekaligus meningkatkan peluang untuk kembali menaiki podium.