BUKAN Mick Doohan, Marc Marquez, Tapi Vale, Pedrosa - Luca Marini

SUKAN PERMOTORAN 2 RODA

2/14/20241 min read

SEPERTI dijangka, pelumba baharu Repsol Honda, Luca Marini memilih abangnya, Valentino Rossi sebagai bekas pelumba pasukan itu yang banyak memberikan inspirasi kepadanya.

Tetapi agak mengejutkan, pelumba kedua yang 'dipetik' bukanlah beberapa lagi legenda seperti Mick Doohan atau Marc Marquez, namun pelumba yang tidak pernah memenangi gelaran dunia kelas elit iaitu Dani Pedrosa.

"Abang saya, ia mudah! Dia memiliki sejarah yang hebat dengan pasukan ini," kata Marini kepada MotoGP.com ketika pelancaran pasukan itu bagi musim 2024 di Madrid, semalam.

“Selain itu sudah tentu Dani Pedrosa yang pernah bersama pasukan ini amat lama.

"Saya amat menyukainya. Dia lelaki yang baik dan apabila kami berbual ketika ujian, ia sentiasa menarik. Jadi saya juga akan cuba mengambil inspirasi daripadanya juga."

Rossi menjadi antara legenda Repsol Honda selepas menjulang gelaran dunia MotoGP pada musim 2022 dan 2003 sebelum memilih untuk menyertai Yamaha.

Pedrosa dalam pada itu berjaya memenangi 31 perlumbaan sebagai pelumba Repsol Honda pada musim 2006 hingga 2018 yang menjadikannya pelumba paling berjaya dalam kelas elit namun tidak pernah memenangi gelaran dunia.

Marini menyertai Repsol Honda bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Marquez.

Ketika ujian rasmi pra-musim MotoGP 2024 di Sepang minggu lalu, Marini yang juga bekas pelumba VR46 Ducati tampak bergelut selepas melakukan catatan ke-19 terpantas keseluruhan.